MARANG: Seorang tukang cuci Radicare yang dalam perjalanan bertugas hari pertama di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Marang maut dalam kemalangan di simpang empat Jalan Padang Bola di Kampung Kijing berdekatan Dewan Utama Majlis Daerah Marang (MDM) di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.05 pagi itu, mangsa Muhammad Hairi Mamat, 38, dari Pasir Panjang di Kuala Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas digilis kereta jenis Perodua Alza.
Mangsa yang merupakan anak yatim piatu dan belum berkahwin ditugaskan sementara ke PKRC Marang mulai hari ini dari pejabatnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Muhammad Hairi yang sudah enam tahun berkhidmat sebagai tukang cuci dikatakan selesai menjalani orientasi di PKRC tersebut semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Alza yang dipandu seorang wanita merempuh mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5, ketika keluar simpang.
Katanya, selepas dilanggar di sebelah kanan, mangsa terjatuh di atas jalan raya dan digilis sebelum terperosok ke bawah kenderaan wanita terbabit yang bertugas sebagai pembantu awam landskap di MDM.
“Akibat pelanggaran itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke HSNZ untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Zain, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN