Tujuh individu dikompaun main bola - Utusan Malaysia

Tujuh individu dikompaun main bola

AIDI SHAM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Tindakan tujuh individu berkumpul dan bermain bola di padang bola Taman PD Utama dekat sini membawa padah apabila kesemua mereka dikompaun polis kerana melanggar arahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua individu berusia antara 20 hingga 50 tahun itu merupakan tujuh daripada 10 yang dikenakan kompaun dalam operasi selama dua hari bermula semalam oleh Pasukan Task Force Pematuhan SOP PKP, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

“Hasil aduan orang awam, pihak polis telah mengeluarkan kompaun terhadap tujuh individu yang didapati ingkar SOP PKP dengan berkumpul dan bermain bola di padang.

“Tiga kompaun lagi dikeluarkan terhadap tiga individu yang ingkar SOP PKP kerana dikatakan keluar untuk membeli rokok semasa ditahan selepas pukul 12 tengah malam di sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Balai Polis Lukut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Aidi Sham, kesemua yang dikenakan kompaun merupakan warga tempatan di Lukut dan Port Dickson.

“Pihak polis mendapati masih terdapat segelintir individu yang masih berdegil dan tidak patuh kepada SOP PKP yang ditetapkan dan tindakan kompaun telah dikenakan.

“Orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan sepanjang tempoh PKP yang dikuatkuasakan sehingga 4 Februari ini,” katanya.

Beliau berkata, Pasukan Task Force Pematuhan SOP PKP akan mengambil tindakan secara berterusan dan agresif demi memastikan masyarakat sentiasa patuh kepada kebiasaan baharu agar dapat membendung Covid-19 daripada menular khususnya dalam daerah Port Dickson.

“Tawaran kompaun adalah sebanyak RM1,000 bagi setiap satu kesalahan dan hendaklah dijelaskan di Pejabat Kesihatan Port Dickson dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kompaun dikeluarkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya