Tindakan intervensi strategik bantu peluang ekonomi bumiputera - PM

Tindakan intervensi strategik bantu peluang ekonomi bumiputera – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan intervensi strategik amat diperlukan bagi membantu golongan bumiputera meraih peluang ekonomi dalam sektor berdaya maju dan mempunyai nilai tambah tinggi.

Perdana Menteri menegaskan, perkara itu akan diberi keutamaan dalam Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) demi memastikan ekonomi golongan itu terus berdaya tahan dan berdaya saing.

Beliau menjelaskan, MKB merupakan platform untuk kerajaan memperkasakan sosioekonomi bumiputera dengan sasaran lonjakan pembangunan keusahawanan berganda di pelbagai peringkat. 

“Usaha ini akan diterajui oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) selaku agensi penyelaras utamanya,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat pertama MKB secara persidangan video di pejabat beliau, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, mesyuarat berkenaan turut mengesahkan penubuhan MKB dari segi keahlian serta terma rujukan. 

Kata Muhyiddin, turut diperakukan penubuhan Jawatankuasa Pemandu MKB (JPMKB) dan Jawatankuasa Kerja MKB (JKMKB) yang masing-masing akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof dan Ketua Eksekutif Teraju, Md. Silmi Abd. Rahman.

Perdana Menteri memberitahu, MKB dianggotai 17 menteri Kabinet di samping tokoh bumiputera dalam pelbagai sektor perniagaan, ekonomi dan pendidikan. 

“Antaranya Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Tan Sri Azman Mokhtar, Datuk Dr. Mohd. Karim Abdullah, Tan Sri Dr. Rafiah Salim, Datuk Azrin Mohd. Noor dan Kamarul Azman Muhamed,” katanya. 

Perdana Menteri turut membangkitkan mengenai kesan besar pandemik Covid-19 kepada ekonomi negara yang mana perniagaan bumiputera tidak terkecuali. 

Justeru, Perdana Menteri yakin mereka yang diberikan amanah di dalam MKB, JPMKB dan JKMKB mampu mencetuskan idea bernas untuk membolehkan tindakan intervensi yang strategik dan tepat diambil demi memastikan ekonomi bumiputera terus berdaya tahan dan berdaya saing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN