KUALA SELANGOR: Tiga pasar pagi utama di sekitar daerah ini dibenarkan beroperasi mengikut giliran bermula pada Sabtu ini.
Semua pasar berlesen itu membabitkan Pasar Pagi Sungai Buloh, Tanjong Karang dan Pasarina Saujana Utama.
Jurucakap Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) berkata, operasi perniagaan pasar itu ditetapkan bermula pukul 6 pagi sehingga 12 tengah hari dan kebenaran itu melibatkan dua peringkat penggiliran mengikut jumlah peniaga yang terhad.
“Sekiranya pasar ini menempatkan 100 peniaga, kita hanya membenarkan sebahagian daripadanya berniaga pada hari sama.
“Sementara, baki selebihnya dibenarkan berniaga pada hari berikutnya mengikut giliran yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini
Tambah jurucakap itu, peniaga dinasihatkan mematuhi syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihaknya.
“Sekiranya ingkar, kita tidak teragak-agak untuk menarik semula atau menutup semula pasar itu,” katanya.
Semalam, kerajaan Selangor membenarkan semua pasar pagi beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, keputusan itu dibuat setelah perbincangan diadakan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan operasi dibuka memandangkan struktur serta operasinya di setiap lokasi adalah berbeza. -UTUSAN ONLINE