Tiga lagi stor dadah dibongkar,rampasan RM201 juta - Utusan Malaysia

Tiga lagi stor dadah dibongkar,rampasan RM201 juta

AYOB Khan Mydin Pitchay (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dengan jumlah keseluruhan mencecah RM201 juta pada sidang akhbar di IPK Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga lagi stor penyimpanan dadah bernilai RM201 juta berjaya dibongkar Polis Johor yang turut menyaksikan rampasan membabitkan 3.2 tan serbuk ekstasi serta tangkapan terhadap dua lagi individu pada Khamis dan semalam.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan RM341 juta dadah dan barangan yang disita Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) termasuk rampasan berjumlah RM131 juta di dua makmal dan dua stor penyimpanan lain, minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi susulan tersebut dilakukan di kawasan Mount Austin dan Setia Indah, pada 14 dan 15 Januari lalu sekali gus merekodkan rampasan terbesar dalam sejarah JSJN.

“Hasil soal siasat terhadap empat daripada 15 suspek yang ditahan sebelum ini mendedahkan tiga lagi lokasi yang dijadikan stor penyimpanan dadah di daerah ini iaitu melibatkan sebuah kilang di Mount Austin dan dua rumah sewa di Setia Indah yang dijadikan stor penyimpanan dadah sindiket berkenaan.

“Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas 3.2 tan serbuk ekstasi, 26.1 kilogram (kg) cecair ekstasi dan 117kg serbuk Eramin 5 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM201 juta,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin di sini hari ini.

Selasa lalu, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain dalam sidang akhbarnya memaklumkan, polis berjaya merampas syabu seberat 72.61kg; 12.81kg serbuk ekstasi serta 5.44kg ganja 3.72 juta biji pil eramin 5; 397,905 pil ekstasi, empat gram (g) heroin, 28g ketamin, 8.5kg jus mangga dan 969.15kg serbuk disyaki dadah.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, jumlah rampasan dadah berkenaan boleh digunakan seramai lebih 11 juta penagih melibatkan pasaran tempatan dan luar negara.

“Siasatan mendapati sindiket berkenaan telah beroperasi sejak 2018 dengan membawa masuk bahan mentah serta peralatan dari China yang mampu bertahan untuk tempoh tiga tahun,” ujarnya.

“Operasi berkenaan turut menyaksikan beberapa barangan dirampas termasuklah wang tunai berjumlah RM5.8 juta, empat buah kenderaan mewah, barangan kemas dan 62 akaun bank melibatkan nilai keseluruhan RM8.6 juta,” katanya.

Tambah beliau, dua suspek baharu yang ditahan itu masing-masing berusia 34 dan 38 tahun dengan seorang daripadanya dicekup di premis kilang di Mount Austin serta seorang lagi di Taman Gaya, Ulu Tiram.

Tambah beliau, kedua-dua suspek terbabit kini direman bagi membantu siasatan manakala 15 suspek yang ditahan sebelum ini turut disambung reman selama empat hari sehingga 20 Januari.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya