KUALA LUMPUR : Tiga lelaki yang mensasarkan kenderaan lama untuk dicuri di daerah ini ditahan pada 23 Disember lalu.
Dalam penahanan itu, pihak polis pada mulanya menerima laporan berhubung kehilangan Nissan Vanette di Taman Million, di sini, pada 1.22 tengah hari pada 11 November lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beg Eng Lai berkata, susulan itu, tiga lelaki berusia 48 hingga 52 tahun dipercayai terbabit dalam kes ini ditahan hasil risikan dan pemantauan yang dilakukan.
“Sindiket ini dipercayai aktif mencuri kenderaan di beberapa kawasan di Sentul, Jinjang, Kepong dan sekitar Lembah Klang.
“Semakan rekod mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kes curi kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Eng Lai, susulan penahahan itu, polis berjaya mengesan dan merampas Nissan Vanette, Proton Wira, Proton Waja dan dua motosikal bernilai RM45,000.
“Pihak Polis masih lagi mengesan beberapa rakan sejenayah lain yang masih bebas.
“Kesemua suspek direman selama tiga hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bagi membantu siasatan dan kini kesemua suspek kemudian diserahkan ke daerah lain bagi siasatan lanjut susulan daripada rampasan barang kes yang dibuat oleh pihak polis IPD Sentul,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE