HULU TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hanya menerima tiga aduan rasmi berhubung kenaikan harga minyak masak dalam botol bersaiz lima kilogram sejak awal tahun ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, daripada jumlah itu, dua aduan diterima di Johor manakala satu di Putrajaya.
Katanya, berdasarkan maklumat dan aduan pengguna, pegawai KPDNHEP turut turun padang bagi menjalankan pemeriksaan sekiranya wujud unsur-unsur pencatutan dalam kalangan peruncit.
“Hasil pemeriksaan mengesan sebanyak enam notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dikemukakan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kenaikan harga yang berlaku.
“Di samping itu, pemeriksaan yang dijalankan pegawai dan anggota penguatkuasa di lapangan mendapati isu kenaikan harga minyak masak dalam botol bersaiz lima kilogram hanya membabitkan jenama tertentu dan berlaku di beberapa lokasi sahaja,” katanya kepada pemberita selepas meninjau harga minyak masak di sebuah pasaraya di Kuala Berang di sini hari ini.
Terdahulu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 kepada 119 peniaga dan penjaja kecil di daerah ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan keluhan pengguna di Alor Setar, Kedah berhubung harga minyak masak botol lima kilogram yang sebelum ini sekitar RM18.70 tetapi meningkat kepada RM27, awal bulan ini.
Sementara itu, Rosol berkata, pengguna yang terbeban dengan kenaikan tersebut mempunyai alternatif untuk membeli minyak masak paket bersaiz satu kilogram yang lebih murah iaitu RM2.50 atau memilih jenama lain yang dijual pada harga munasabah. -UTUSAN ONLINE