Tidak sekali-kali tolak Muhyiddin, Bersatu - Utusan Malaysia

Tidak sekali-kali tolak Muhyiddin, Bersatu

TENGKU Adnan Tengku Mansor (dua kanan) ketika berucap merasmikan Mesyurat Perwakilan UMNO Bahagian Putrajaya di sini, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: UMNO Putrajaya menetapkan pendirian tidak sekali-kali bersama pihak yang menolak kepimpinan kerajaan Melayu Islam ketika ini di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketuanya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan, UMNO perlu memberikan sokongan padu dan mengekalkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas di bawah Perikatan Nasional (PN) demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Tengku Adnan pada masa sama mendedahkan, beliau adalah antara orang yang meminta Muhyiddin menjadi Perdana Menteri ketika awal pembentukan kerajaan selepas berjaya menjatuhkan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH).

“Saya hairan banyak orang menyuarakan supaya kita tidak perlu bersama Bersatu, kenapa? Saya salah seorang yang menjatuhkan kerajaan lama dan saya yang meminta Muhyiddin menjadi Perdana Menteri sebab tidak percaya kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

“Jadi minta maaf lah mengapa saya tidak buat pendirian (tolak Bersatu), kita yang minta beliau (Muhyiddin) menerajui kita dan bersamanya dalam kerajaan tetapi kita pula nak jatuhkan kerajaan Melayu Islam,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Putrajaya, di sini hari ini.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, beliau bekerja keras selama 18 bulan untuk menjatuhkan kerajaan boneka yang dikawal DAP, oleh itu beliau tidak akan cuba menolak kepimpinan kerajaan ketika ini.

Beliau bagaimanapun percaya, mereka yang menyuarakan untuk menolak Bersatu adalah mereka yang kalah dalam Pilihan Raya Umum lalu.

“Saya menang sebagai wakil rakyat, sebab itu saya diam kerana saya tahu apa yang mahu dilakukan demi agama bangsa dan negara.

“Bila waktu mula-mula kerajaan ditubuhkan, saya dipanggil untuk tinggalkan UMNO dan diberikan jawatan tertentu, tetapi saya tidak rela kerana saya bukan manusia mengkhianati UMNO yang ditubuhkan untuk orang Melayu dan parti ini bukan parti yang diperkotak-katikkan,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bahawa 143 daripada 191 bahagian parti itu menolak kerjasama dengan Bersatu, Tengku Adnan berkata, bahagian-bahagian berkenaan mungkin mengalami sedikit pergeseran yang menurutnya boleh diperbaiki.

“Presiden sebut oleh kerana akar umbi telah sebut, tetapi saya berkeyakinan jika presiden, majlis tertinggi duduk bersama-sama dengan biro politik, kita boleh perbaiki keadaan untuk beri satu kesinambungan kita bersama kerana saya berharap Bersatu dan UMNO satu hari nanti bercantum balik,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya