IPOH: Sudah tiba masanya masyarakat membalas jasa petugas barisan hadapan yang berkorban masa dan tenaga bagi membendung Covid-19 sejak hampir setahun lalu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, petugas barisan hadapan tidak meminta wang atau tenaga sebaliknya hanya memerlukan kerjasama masyarakat patuh segala SOP agar kes Covid-19 dapat dikurangkan.
Menurutnya, ini secara tidak langsung akan mengurangkan beban petugas barisan hadapan.
“Mereka telah berkorban hampir satu tahun dari segi masa, tenaga, terpaksa meninggalkan keluarga, melupakan masa bersama keluarga, mereka lakukan ini semua untuk memastikan keselamatan kita.
“Jadi tiba masanya kita pula membalas jasa baik mereka. Mereka tidak memerlukan wang, tenaga daripada kita, mereka hanya memerlukan kerjasama kita untuk patuh kepada segala SOP agar tak ada kes baharu.
“Mereka sangat mulia kerana sanggup menggadai nyawa membantu kita berhadapan Covid-19,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Mohammad Shatar berkata, barisan hadapan juga adalah manusia biasa yang mempunyai limitasi dari segi tenaga dan masa.
Beliau berkata, kalau masyarakat hanya meletakkan beban semata-mata kepada barisan hadapan, mungkin suatu hari mereka juga terpaksa mengundurkan diri.
“Sebab mereka mungkin sudah tidak mampu lagi, tak cukup tenaga, masa dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, masyarakat perlu sedar terhadap tanggungjawab untuk memastikan segala SOP yang telah dilaksanakan oleh kerajaan diaplikasi atau diamalkan.
“Jika masyarakat tidak mahu patuh pada SOP, adalah sukar untuk frontliner membantu kita. Kita perlu sedar, barisan hadapan tak akan mampu mengatasi masalah pandemik ini jika tak ada bantuan daripada masyarakat,” katanya. – UTUSAN