Serah pengurusan kediaman wajibkan penduduk jalani ujian Covid-19 

Tiada sekatan pengurusan kediaman wajibkan penduduk jalani ujian saringan Covid-19 

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak menyekat mana-mana pengurusan kondominium atau kawasan perumahan untuk mewajibkan ujian saringan Covid-19 kepada setiap penghuni kediaman bagi tujuan menjaga keselamatan penduduk.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengurusan kediaman boleh membuat peraturan seumpama itu walaupun tidak ada satu polisi khusus yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kerajaan tidak menghalang pengurusan kediaman untuk mengeluarkan arahan seperti itu demi menjaga keselamatan penduduk,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pihak polis diminta menggunakan budi bicara untuk membenarkan mana-mana penduduk di kawasan sempadan negeri untuk merentas negeri untuk tujuan membeli barangan keperluan.

Katanya, kebenaran itu boleh diberikan sebagai mengambil kira lokasi bandar di negeri bersebelahan adalah lebih dekat berbanding untuk ke bandar dalam negeri sendiri.

“Situasi seperti ini banyak berlaku di kawasan sempadan negeri seperti beberapa tempat di Pahang atau Negeri Sembilan, lebih baik pergi ke tempat bandar negeri lain berbanding bandar sendiri yang lebih dekat. 

“Jadi saya harap pihak polis dapat menggunakan budi bicara untuk kes terpencil seumpama ini walaupun rentas negeri dilarang,” katanya.

Mengulas mengenai kebenaran pasangan jarak jauh (PJJ) untuk merentas negeri, Ismail Sabri berkata, pertimbangan itu diberikan atas dasar perikemanusiaan. 

Bagaimanapun, kata beliau, kebenaran itu tidak bermakna mereka bebas merentas negeri sesuka hati tetapi perlu mendapat kebenaran polis dengan mengemukakan bukti-bukti kukuh bahawa mereka adalah dalam golongan PJJ. 

“Namun kita tidak benarkan mereka yang bergejala untuk pulang bertemu keluarga. Jadi demi menjaga keselamatan keluarga mereka perlu berstatus negatif Covid-19. 

“Jadi kita sarankan kalau nak balik melawat keluarga buatlah ujian saringan terlebih dahulu supaya menjamin keselamatan keluarga. Tidak ada guna balik tetapi status tidak menentu dan akhirnya seluruh keluarga terjejas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya