KUALA LUMPUR: Tahun 2021 memerlukan negara menetapkan semula hala tuju politik setelah berdepan dengan krisis ekonomi sejak tahun 1998 yang diburukkan dengan toksik politik sekaligus menyebabkan institusi kerajaan semakin goyah.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ketika ini, naratif baharu negara amat diperlukan di semua aspek utama merangkumi politik, ekonomi dan sosial bermula daripada tadbir urus dan akauntabiliti, pendidikan, teknologi, penjagaan kesihatan dan mobiliti sosial.
“Tiada tempat yang tersisa untuk sebarang politik perkauman dan agama. Perpaduan harus menjadi landasan kepada reformasi melalui demokrasi partisipasi yang diwakili oleh semua pemegang taruh.
“Ia sama ada muda atau tua, bandar atau luar bandar, liberal atau konservatif melalui nilai-nilai sistem pemerintahan yang mengatasi agama dan bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena forum bertajuk Regional Outlook Forum 2021: Power, Policy and Politics in a Post-Covid-19 World secara maya kelmarin.
Program yang dianjurkan selama dua hari bermula 6 hingga 7 Januari oleh Institut Yusof Ishak (ISEAS) itu turut disertai oleh beberapa perwakilan dari Singapura, China, Amerika Syarikat, India, Vietnam, Thailand, Indonesia, Myanmar dan Jepun.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu menyorot kemelut politik dan pertukaran kerajaan pada Februari tahun lalu apabila Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa partinya keluar dari gabungan itu dan membentuk pakatan baharu dinamakan Perikatan Nasional (PN) bersama UMNO dan Pas.
Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu dengan sokongan longgar sejumlah antara 111 sehingga 114 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat selepas Tun Dr. Mahathir meletakkan jawatannya.
Sorotan itu juga mengambil kira ketegangan hubungan antara Dr. Mahathir dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas tercetusnya Langkah Sheraton Februari lalu selain Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada September lalu dan penyingkiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie menyeru agar rakyat dan semua pemimpin di negara ini untuk bersatu bagi menentang parti-parti elit lama yang ketika ini dikuasai oleh golongan lelaki.
Ini termasuklah memberi ruang dan peluang kepada semua orang untuk bersuara atas dasar hak kebebasan dan menyerlahkan potensi mereka dan menjangkaui politik peribadi yang berlaku antara Dr. Mahathir dan Anwar Ibrahim.
“Semua pihak harus memutuskan masa depan politik, kita harus pergi melalui situasi yang sukar ini tetapi berbaloi untuk beralih daripada idea-idea lama kepada idea baharu untuk membentuk negara menghadapi era pasca 2020,” katanya. -UTUSAN ONLINE