MELAKA: Tiada pembelian panik dikesan di negeri ini setakat ini susulan khabar angin menjangka pengumuman berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dibuat dalam perutusan khas oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Norena Jaafar berkata, bekalan makanan keperluan di seluruh negeri mencukupi bagi menampung keperluan pengguna secara berterusan.
Menurut beliau, pihaknya membuat pemantauan membabitkan 140 perincian Peruncit Terpilih Daerah (DDR), 58 Pemborong Terpilih Daerah (DDW) dan juga sejumlah Mini Stok daripada senarai DDW yang terdiri daripada para peniaga barangan keperluan di seluruh negeri.
“Sehingga semalam pihak kami tidak menerima laporan dan hasil pemantauan penguat kuasa juga mendapati tiada pembelian panik di negeri ini malah semua bekalan barangan di semua sektor peruncitan mencukupi.
“Sejak awal bulan ini sehingga semalam, sebanyak 809 premis perniagaan diperiksa bagi memastikan bekalan keperluan harian mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Norena berkata, pemeriksaan berkala juga dipertingkatkan sehingga 50 premis sehari dalam usaha memastikan rakyat tidak mengalami masalah dalam mendapatkan barangan keperluan harian.
Mengulas lanjut, beliau turut berkata, sekalipun PKP dilaksanakan semula, keperluan makanan asas tetap mencukupi.
“Pada kali ini, kita lebih bersedia berbanding 18 Mac lalu dengan kebanyakan premis perniagaan terpaksa ditutup dan memberi kesan kepada keberadaan bekalan barangan keperluan di dalam pasaran,” katanya. -UTUSAN ONLINE