Tiada pelanggaran SOP Solat Jumaat di Masjid At-Taqwa, Paroi - Utusan Malaysia

Tiada pelanggaran SOP Solat Jumaat di Masjid At-Taqwa, Paroi

AHLI kariah Masjid At-Taqwa, Paroi, Abd. Aziz Muhamad menunjukkan video yang tular sejak semalam yang mempersoalkan SOP semasa pelaksanaan PKP apabila jemaah sedang keluar daripada masjid dan selesai menunaikan solat Jumaat.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiada berlaku sebarang pelanggaran prosedur standard operasi (SOP) sewaktu aktiviti solat Jumaat di Masjid At-Taqwa, Paroi, dekat sini semalam.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd. Zaidi Ramli menegaskan, sepanjang pemantauan yang dibuat sama ada oleh pihak polis atau penguat kuasa JHEAINS sendiri, mendapati jemaah di masjid berkenaan juga telah mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Jemaah telah membawa sejadah besar sendiri, memakai pelitup muka, mematuhi jarak fizikal yang telah ditetapkan oleh pihak jawatankuasa semasa berada dalam masjid.

“Hanya satu pintu pagar sahaja dibuka untuk laluan masuk ke kawasan masjid. Jawatankuasa masjid telah menyediakan tiga khemah di luar kawasan masjid untuk tujuan melicinkan proses pendaftaran dan mengimbas suhu badan jemaah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas satu video berdurasi lebih dua minit yang tular di aplikasi WhatsApp sejak malam semalam di mana perakamnya mempersoalkan SOP semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila jemaah  sedang keluar daripada masjid dan baru selesai menunaikan solat Jumaat, semalam.

Perakam video tersebut mempersoalkan kehadiran ramai jemaah serta motosikal dan kereta yang banyak diletakkan di bahu-bahu jalan sehingga dakwanya menghalang laluan kenderaan lain.

Sementara itu, tambah Mohd. Zaidi, jemaah adalah tidak dibenarkan meletakkan kenderaan dalam kawasan masjid berdasarkan SOP yang telah ditetapkan dan oleh sebab itu terdapat banyak kenderaan kelihatan di bahu jalan.

“Kapasiti sebenar Masjid At-Taqwa tanpa mengambil kira penjarakan fizikal adalah seramai 3,000 orang manakala kapasiti dibenarkan dengan penjarakan fizikal adalah seramai 1,200 orang. 

“Bagaimanapun, jemaah yang dilaporkan hadir pada hari tersebut seramai 900 orang sahaja. Hal ini selaras dengan arahan Kerajaan Negeri yang membenarkan rumah ibadah dibuka untuk tujuan ibadah dan bukan untuk upacara keramaian,” katanya lagi. 

Dalam pada itu, pihaknya menyeru seluruh umat Islam di Negeri Sembilan agar mematuhi semua SOP yang ditetapkan semasa berada dalam kawasan masjid dan semasa bersurai selepas melaksanakan ibadah.

“Ia supaya tidak membuka ruang fitnah kepada umat Islam dan boleh terus melaksanakan ibadah dengan tenang di samping menghidupkan masjid dan surau.

“Tohmahan sebeginilah yang sepatutnya dielakkan oleh umat Islam bagi menjaga kesucian dan kemurnian agama. Setiap individu Muslim hendaklah bersama-sama memikul tanggungjawab untuk menjaga kesucian Islam agar tidak diperlekehkan oleh orang lain,” katanya sambil memberitahu pihaknya tetap konsisten untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran SOP sama ada oleh individu jemaah atau pihak jawatankuasa masjid.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, penetapan SOP solat Jumaat di negeri ini adalah syarat ditetapkan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

“Pihak polis ada buat pemantauan di masjid tersebut dan ia bertepatan dengan SOP MAINS. (Berkenaan video) jangan sebar jika tidak pasti, boleh mengakibatkan salah faham masyarakat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya