PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menegaskan tiada kontak rapat atau pun merebaknya mutasi baharu dari United Kingdom (UK) iaitu varian B.1.1.7 atau 202012/01 di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia mengesan kes pertama membabitkan mutasi baharu itu pada seorang pengembara berusia 22 tahun yang ada sejarah perjalanan ke UK pada Disember lalu.
Beliau berkata, pengembara berkenaan didapati positif pada 28 Disember lalu, dan sudah diasingkan untuk rawatan lanjut.
“Kita sudah mengasingkan individu itu selepas tiba dari UK iaitu ujian pertama, hasilnya negatif manakala ujian kedua mendapati individu itu, positif B.1.1.7.
“Bagaimanapun, tiada kontak rapat dikesan kerana sudah diasingkan terlebih dahulu untuk tempoh yang sudah dikenal pasti. Individu itu juga, sudah pun dibenarkan discaj,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Baru-baru ini, Noor Hisham mendedahkan sejak Oktober lalu, pihaknya melakukan pemantauan terhadap semua pengembara dari negara yang telah melaporkan kes B.1.1.7, termasuk dari UK, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India.
“Sebanyak 968 sampel diuji sejak Oktober lalu dan telah melakukan penjujukan genom bagi mengesan jenis mutasi UK B.1.1.7 ini kepada 24 sampel,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya melihat 14 kes dari kluster-kluster tempatan dan gunakan kluster-kluster itu sebagai perbandingan sama ada terkesan atau ada kesan mutasi tetapi hanya satu kes sahaja.
“Apa yang boleh dikatakan, tiada kontak rapat kerana individu itu, baru pulang dari UK dan kita sudah asingkan terlebih dahulu,” katanya.
Sebelum ini, strain Covid-19 B.1.1.7 dipercayai kali pertama dikesan di tenggara England, akhir tahun lalu, dan sejak itu ia dikesan di beberapa negara seluruh dunia.
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, dilaporkan berkata varian baharu itu 70 peratus lebih mudah menular berbanding strain asal virus terbabit.- UTUSAN ONLINE