Tiada isu pembalasan politik dalam 3 isu prasarana di P. Pinang - Utusan Malaysia

Tiada isu pembalasan politik dalam 3 isu prasarana di P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan menafikan dakwaan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kononnya bertindak melakukan pembalasan politik ke atas negeri tersebut.

Sebaliknya, dakwaan pembatalan tiga daripada empat projek prasarana itu yang disifatkan sebagai bentuk pembalasan politik terhadap negeri berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

“Ini termasuk perkhidmatan feri yang tidak dibatalkan sebaliknya ditambah baik mengikut arus pemodenan untuk diberi lebih keselesaan,” kata kementerian itu menerusi kenyataan hari ini.

Kementerian tersebut merujuk artikel yang disiarkan oleh portal tempatan pada 7 Januari lalu dengan tajuk “PN jadikan ‘Wee’ sebagai senjata untuk memangsakan rakyat Pulau Pinang – Guan Eng.

”Justeru, kementerian itu membuat pembetulan tanggapan salah yang dinyatakan pemimpin DAP tersebut selain dakwaan oleh adik perempuan Guan Eng sendiri, Senator Lim Hui Ying.

Isu Rapid Feri Pulau Pinang yang dibangkitkan termasuk cadangan dari pelbagai pihak bagi memelihara warisan dan budaya ikonik negeri itu jelas kementerian, masih dipertimbangkan.

“Ini meliputi saranan agar feri lama itu dijadikan sebagai restoran terapung, muzium atau pun kapal pelayaran pelancongan sejajar fasa pemodenan bermula 1 Januari lalu,” kata kementerian berkenaan lagi.

Prasarana Malaysia Bhd. telah menyewa dua feri laju buat sementara hingga feri baru ‘bas air’ diperoleh Penang Port Sdn. Bhd. untuk beroperasi dalam tempoh jangka masa 18 bulan.

Usaha berterusan kata kementerian, bagi ganti feri lama banyak kelemahan serta sering rosak dengan purata sebulan sekali dan dianggap kurang berdaya maju untuk jangka masa panjang.

Menyentuh isu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), kementerian itu berkata, cadangan projek pembesaran belum lagi dibatalkan oleh menterinya, Datuk Wee Ka Siong.

“Namun, ia diteliti semula dengan ambil kira permintaan penumpang dan keadaan ekonomi akibat pandemik Covid-19 yang beri kesan besar buat industri penerbangan awam,” katanya.

Apatah lagi ujar kementerian, aliran trafik penumpang di PIA lebih teruk berbanding peringkat global apabila jatuh 78 peratus kepada 1.816 juta sepanjang tahun lalu berbanding data 2019.

Situasi buruk itu menjejaskan keupayaan operatornya, Malaysia Airports Holding Berhad bagi biayai naik taraf PIA seperti dibincangkan Ka Siong dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yew.

Biarpun ia dijangka naik balik tahun ini, tetapi keadaan itu diunjurkan melibatkan 30 peratus daripada kapasiti penuh dan diramal hanya mampu akan pulih sepenuhnya menjelang 2024.

“Berhubung isu Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Bayan Lepas-Komtar, ia tidak dibatalkan kementerian seperti didakwa Guan Eng sebaliknya ada laporan yang belum diserah,” katanya.

Kerajaan negeri didapati tidak memberi kelulusan akhir Penilaian Impak Sosial dan Laporan Impak Alam Sekitar dari Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

Ia sepatutnya dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat sebelum diluluskan Menteri Pengangkutan mengikut sub-seksyen 84(6) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Kementerian itu berharap, pemimpin politik dapat menahan diri daripada sebar cerita fiskyen hanya demi kepentingan politik, bahkan perlulah sentiasa beri fakta sebenar kepada rakyat.

“Segala pendapat daripada kerajaan negeri berhubung penambahbaikan prasarana pengangkutan awam demi keselesaan penumpang diterima baik oleh pihak kementerian,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya