GEORGETOWN: Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan kuil Nattukotai Chettiar yang menjalankan perarakan pedati perak di sini awal pagi tadi.
Pengerusinya, Dr. P. Ramasamy berkata, penganjuran itu jelas dibuat secara haram dan melanggar undang-undang kerana tidak mendapat kelulusan rasmi daripada mana-mana pihak berkuasa.
Menurut beliau, pihak pengurusan kuil itu juga jelas menentang prosedur operasi standard (SOP) perayaan Thaipusam yang ditetapkan PHEB, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mencegah jangkitan Covid-19.
“Kita kesal kerana pengurusan kuil Nattukotai Chettiar telah membelakangkan aspek keselamatan dan kesihatan seluruh rakyat khususnya penduduk Pulau Pinang dengan mengadakan perarakan pedati pagi tadi.
“Sedangkan sehingga kini kerajaan negeri dan MKN tidak memberikan sebarang kebenaran dan ketidakpatuhan terhadap arahan secara terbuka ini mesti dihukum dengan berat tanpa belas kasihan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kira-kira pukul 3.30 pagi tadi, pihak pengurusan pengurusan kuil Nattukotai Chettiar mengadakan perarakan pedati perak di Jalan Penang di sini menuju ke kuil itu di Jalan Air Terjun yang tiba kira-kira pukul 6 pagi dengan dipantau polis.
Dalam pada itu, Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata, tindakan pihak pengurusan kuil tersebut yang membelakangkan undang-undang seolah-olah mencabar PHEB dan kerajaan negeri.
Sehubungan itu, ujarnya, beliau akan membawa isu tersebut untuk dibincangkan di peringkat jawatankuasa PHEB dan kerajaan negeri supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
“PHEB juga boleh mengambil tindakan termasuk mengambil alih pengurusan kuil itu sekiranya terbukti terdapat penyalahgunaan kuasa dalam pihak pengurusan kuil tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menempelak Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan yang disifatkan cuba campur tangan dalam isu tersebut sehingga mendorong perarakan pedati pagi tadi berlangsung.
Tegas beliau, tindakan Menteri Sumber Manusia itu yang memberi jaminan kepada pihak pengurusan kuil berkenaan meletakkan penduduk negeri ini dalam risiko kesihatan memandangkan kes jangkitan Covid-19 di negeri ini masih tinggi. – UTUSAN ONLINE