HULU TERENGGANU: Polis Terengganu akan membuat lima sekatan jalan raya di sempadan negeri ini sepanjang tempoh dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, sekatan jalan raya selama 24 jam itu membabitkan dua daerah iaitu di Besut dan Kemaman.
“Di Kemaman, sekatan dilakukan di tiga lokasi iaitu di kawasan rehat dan rawat (R&R) Perasing di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di samping di Plaza Tol Cheneh dan Paya Berenjut manakala di Besut pula di Pachakan dan Tok Saboh.
“Kita minta kerjasama orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan pada setiap masa,” katanya kepada pemberita selepas melawat Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud di sini hari ini.
Terengganu merupakan antara enam negeri yang dikenakan PKPB di samping Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan sehingga 26 Januari ini.
Roslee berkata, polis dengan kekuatan 544 pegawai dan anggota masih meneruskan rondaan dan pemantauan pematuhan SOP Covid-19 di tempat-tempat awam.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar kekal berada di rumah dan tidak perlu keluar jika tiada sebarang keperluan dalam usaha memutuskan rantaian virus. – UTUSAN ONLINE