KUALA LUMPUR: Sesi temu duga graduan pendidikan lepasan Universiti Awam (UA) ke perjawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 akan dilaksanakan secara maya selewat-lewatnya Februari tahun ini.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, sesi temu duga berkenaan dijangka dilaksanakan minggu ketiga bulan depan.
“Calon yang dipanggil temu duga ini terdiri daripada calon-calon yang telah memohon atau mengemas kini maklumat melalui portal mySPP selewat-lewatnya 18 Ogos 2020, berdasarkan hebahan tarikh tutup permohonan yang dikeluarkan 11 Ogos 2020.
“Justeru, SPP menyarankan calon-calon terlibat agar bersedia dan sentiasa melayari laman sesawang dan platform media sosial rasmi SPP bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan urusan temu duga tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu hadir bagi menjelaskan keadaan selepas laporan Utusan Malaysia baru-baru ini berhubung lambakan graduan pendidikan semakin tenat dengan hampir 10,000 graduan pendidikan UA masih menganggur kerana belum menerima penempatan sebagai PPP DG41 dalam tempoh beberapa tahun sehingga sekarang.
Berdasarkan kutipan data terakhir oleh Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA) pada Januari 2020, sekurang-kurangnya 4,390 graduan mendakwa mereka masih menunggu surat tawaran penempatan di mana-mana pusat pendidikan tetapi hampa.
Semakan di laman web SPP sebelum ini mendapati tiada temu duga untuk graduan pendidikan UA sepanjang tahun. – UTUSAN