KANGAR: Kawasan-kawasan yang mencatatkan kes tinggi positif Covid-19 di negeri ini mungkin akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco).
Bagaimanapun Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu dengan melihat kepada tahap keseriusan penularan virus itu.
Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis juga akan mengadakan mesyuarat hari ini bagi membincangkan tentang situasi semasa berkaitan penularan kes positif Covid-19.
“Mesyuarat tersebut akan memperhalusi tindakan sewajarnya yang akan diambil kerajaan negeri dalam mengawal jangkitan kes positif daripada terus meningkat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Amanat Menteri Besar Perlis kepada Ahli Majlis Perbandaran Kangar (MPK) di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Sejak beberapa hari lalu, sebanyak 18 kes baharu direkodkan selepas sekian lama Perlis berada di dalam zon hijau dengan masing-masing tiga kes pada Jumaat, (lapan kes) Sabtu, lima kes pada Ahad dan semalam merekodkan sebanyak tiga kes.
Difahamkan, kebanyakan kes tersebut melibatkan jangkitan daripada mereka yang datang ke Perlis dari zon merah sekali gus mencetus kebimbangan rakyat Perlis. – UTUSAN ONLINE