Tembak PGA: Dua lelaki warga Thailand dihadap ke mahkamah

Tembak PGA: Dua warga Thailand didakwa

DUA lelaki warga Thailand yang ditahan susulan insiden tembakan sehingga mengorbankan seorang anggota PGA di sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, November tahun lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kangar, Perlis hari ini. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dua lelaki warga Thailand yang ditahan susulan kes berbalas tembakan sehingga mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira 600 meter dari Tembok Sempadan (TS9), Padang Besar, November tahun lalu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari.

Dah Wae Hatama, 36, dan Mahyee Ma-Ae, 34, dituduh di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang pas sah mengikut peruntukan undang-undang untuk masuk ke negara ini.

Dah Wae yang merupakan seorang petani dijatuhi hukuman penjara dua tahun dari tarikh ditangkap pada 24 November lalu dan dikenakan tiga kali sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Pertuduhan terhadapnya yang diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dibacakan jurubahasa dalam bahasa Thailand di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Bagaimanapun, rakan senegaranya, Mahyee pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut dan minta dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Dah Wae dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah pondok di Jalan Padang Besar, Batu 20, Padang Besar kira-kira pukul 8.26 pagi, 24 November lalu.

Mahyee pula didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Batu 22, Jalan Padang Besar dekat sini kira-kira pukul 8 pagi, pada 24 November lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen  6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan hendaklah dikenakan maksimum enam sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Izham Ali ketika prosiding berkata, hukuman maksimum perlu dikenakan kepada Dah Wae kerana tindakannya masuk ke negara ini secara haram ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain itu, tertuduh juga disyaki masuk ke Malaysia untuk tujuan penyeludupan ketum dan pada masa kejadian, berlaku kes tembak menembak antara anggota penguat kuasa Malaysia dengan pihak Thailand.

“Kejadian itu mengakibatkan kematian seorang anggota penguat kuasa manakala seorang lagi parah akibat terkena tembakan,” katanya.

Mahkamah menetapkan 1 Februari depan untuk sebutan semula bagi kes Mahyee.

Pada 24 November lalu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya, Sarjan Norihan Tari, 39, cedera dalam pertempuran dengan 13 penyeludup kira-kira 600 meter dari tembok sempadan negara berhampiran pos kawalan TS9, Padang Besar.

Rentetan itu, polis giat memburu suspek bagi membantu siasatan kes terbabit dengan jumlah keseluruhan yang ditahan sebelum ini seramai 52 suspek termasuk empat warga Thailand.

Dalam pada itu, Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, lapan suspek berkaitan insiden tembakan terbabit ditangkap semula iaitu tiga di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan lima di bawah kes jenayah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan, Seksyen 39(c)(1) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 30(3) Akta Racun pada hari ini dan semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya