Tawar komoditi bekalan makanan dengan harga lebih rendah - Utusan Malaysia

Tawar komoditi bekalan makanan dengan harga lebih rendah

ORANG ramai membeli ikan segar yang ditawarkan dengan harga lebih rendah menerusi Program Jualan Masyarakat Jalur3 di Ampangan, Seremban hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bagi membantu golongan masyarakat terutama yang terjejas daripada sudut ekonomi, syarikat pengusaha hasil laut dan akuakultur, Public Wellbeing Solutions Sdn. Bhd. (PWS) tampil menawarkan bekalan hasil laut, pertanian dan penternakan dengan harga lebih rendah daripada pasaran.

Ia menerusi jenama Jalur3 yang telah bermula sejak tiga bulan lalu yang menjalankan model perniagaan menyepadukan dan menggabungkan pengeluar dan pembekal komoditi bekalan makanan industri asas tani dalam satu acara jualan.

Penasihat Strategi Korporat dan Perancangan PWS, Datuk Mohamed Zafril Zabidin berkata, Jalur3 itu membawa maksud program jualan daripada tiga bidang pertanian iaitu Jalur Jeti yang merupakan hasil-hasil laut, Jalur Kebun iaitu hasil tani dan Jalur Kandang yang merupakan hasil-hasil ternakan.

Jelasnya, pihaknya mengambil terus sumber makanan tersebut daripada pengeluar kemudian membawanya kepada pembeli di satu-satu kawasan yang telah dikenal pasti.

“Apabila kami dapat terus daripada sumber kami terus bawa ke pasaran jadi kami dapat hapuskan orang tengah yang mampu menstabilkan harga dan tentu harga yang kami dapat tawarkan di bawah harga pasaran.

“Selepas tiga bulan kami menjalankan model perniagaan ini, kami telah masuk ke kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur dan sambutan amat menggalakkan, pembeli berpuas hati dan ikan-ikan kami juga segar. Kini kami sudah ke Seremban dan selepas ini akan bermula di beberapa tempat di negeri Selangor,” katanya kepada pemberita pada Program Jualan Masyarakat di Ampangan di sini hari ini.

Tambah Mohamed Zafril, jika program jualan tersebut mendapat sambutan menggalakkan tentunya ia menjadi program mingguan termasuk di beberapa kawasan lagi yang sedang dikenal pasti di daerah ini.

“Selepas di Ampangan, memang kami berhasrat untuk menjalankan program jualan serupa di Sikamat dan juga Paroi. Ini juga menjadi hasrat kami untuk membantu meringankan beban kewangan kepada masyarakat terutama yang terkesan dari segi ekonomi kerana Covid-19,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Suraya Zubir, 43, mengakui berpuas hati dengan hasil pertanian dijual di program tersebut yang disifatkannya lebih segar malah juga lebih rendah harga berbanding di pasar.

“Jika sesiapa yang biasa membeli barangan basah di pasar tentu dapat membandingkan harga di sini yang lebih murah, saya lihat lebih rendah kira-kira 10 peratus. Hasil laut yang dijual juga lebih segar dan saya difahamkan ia datang terus dari jeti.

“Saya harap program jualan ini dapat dijadikan program jualan mingguan kerana amat berbaloi terutama kepada pembeli yang biasa membeli barangan makanan secara mingguan. Di sini juga banyak pilihan termasuk sayur dan daging selain ia lebih selesa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya