KUALA SELANGOR: Penduduk Kampung Bestari Jaya, Bestari Jaya di sini menggesa mana-mana pihak bertanggungjawab segera menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden mendapan tanah di sekitar kawasan itu sejak Jumaat lalu.
Rata-rata penduduk di sini bimbang jika mendapan itu akan merebak ke kawasan perumahan mereka yang jaraknya kira-kira lima kilometer sahaja dari tempat kejadian.
Penduduk, Baharudin Othman, 60, berkata, insiden mendapan tanah itu merupakan yang pertama berlaku di kampung berkenaan.
“Kami bimbang dan buntu dengan situasi sebenar kejadian yang berlaku di lokasi berkenaan dan bimbang kejadian sama berulang pada masa akan datang.
“Penduduk khuatir dengan faktor keselamatan dan mahu penjelasan lebih lanjut mengenainya daripada pihak berkaitan. Kita tidak mahu insiden ini berulang dan paling membimbangkan jika membabitkan kawasan perumahan penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita di kampung itu di sini hari ini.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan lebih 70 pekerja dua kilang termasuk salah satunya kilang ternakan ulat membuat baja makanan ayam di kampung itu nyaris maut apabila kawasan berdekatan rumah penginapan mereka berlaku mendapan tanah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, semua pekerja berada di asrama dan rumah kongsi di sekitar lokasi tersebut.
Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua mangsa berjaya dipindahkan ke lokasi selamat.
Dalam pada itu, penduduk, Huzairi Abd. Hamid, 30, berkata, pihak berkaitan perlu menjelaskan tindakan atau langkah susulan yang dilakukan berhubung mendapan tanah tersebut.
“Biarpun kediaman penduduk berada agak jauh dari lokasi itu, sebarang kemungkinan boleh berlaku kerana melibatkan keadaan tanah.
“Kami cuma bimbang sekiranya struktur tanah ketika ini turut berisiko menyebabkan mendapan sama,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor ketika dihubungi berkata, pihaknya hari ini turut menjalankan operasi pemantauan susulan di lokasi berkenaan.
“Operasi pemantauan ini hanya melibatkan pemantauan biasa dan kita sentiasa dalam keadaan bersiap siaga sekiranya diperlukan.
“Tindakan lanjut kini dikendalikan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) bagi menyiasat punca kejadian tanah mendap itu,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati laluan menuju ke lokasi kejadian di Jalan PKPS itu ditutup kepada orang awam.
Malah, kawasan sekitar itu juga turut dikawal ketat beberapa individu dipercayai daripada KSSB. -UTUSAN ONLINE