Tanah kubur merekah, mendap akibat hujan berterusan - Utusan Malaysia

Tanah kubur merekah, mendap akibat hujan berterusan

MD. Najib Teh tetap meneruskan kerja-kerja menggali kubur biarpun berdepan cabaran pada musim tengkujuh ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Berata, Jalan Temenggong. Pemberita/Gambar: FARAHWAHIDA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Biarpun terpaksa mengerah kudrat tambahan untuk menggali kubur dalam keadaan tanah berselut, tanggungjawab sebagai penggali kubur tetap diteruskan.

Begitulah cabaran buat Md. Najib Teh, 54, seorang penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Berata, Jalan Temenggong, di sini sepanjang musim tengkujuh ini.

Menurut Md. Najib, keadaan tanah perkuburan juga ketika ini mula merekah dan mendap akibat hujan lebat dan tanpa henti sejak seminggu yang lalu.

Berkongsi pengalaman sebagai seorang penggali kubur di tanah perkuburan tersebut, Md. Najib bersama empat pembantu kini terpaksa berhujan dan bergelut dengan tanah selut apabila menggali kubur.

“Suasana menggali kubur pada musim hujan ini amat berbeza selain ada kalanya liang lahad kerap digenangi air hujan selain runtuhan tanah tebing sedikit memakan masa menyiapkannya.

“Selain itu, tanah juga melekat di peralatan seperti cangkul dan penyodok tanah ketika menggali tanah perkuburan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Berbekalkan pengalaman selama 24 tahun sebagai penggali kubur, Md. Najib tekad meneruskan kerja penggalian yang memakan masa lebih tiga jam berbanding tidak sampai dua jam pada musim biasa.

“Disebalik perlu tambahan masa kerja menyiapkan papan lahad atau keranda jika kubur digenangi air sewaktu pengkebumian, ia tetap saya laksanakan secara berlapang dada.

“Kematian yang berlaku bila-bila masa menuntut waris keluarga menghubungi saya dalam waktu singkat bagi persiapan menyediakan kubur, papan lahad atau keranda,” katanya.

Dia turut bersyukur waris si mati memahami apabila menerangkan situasi keadaan liang lahad di musim tengkujuh ini sedikit sukar untuk dilakukan.

Selain membantu waris memudahkan urusan pengebumian, tugas Md. Najib sekali gus melaksanakan tuntutan fardu kifayah.

Malah dia juga layak bergelar sebagai salah seorang daripada petugas barisan hadapan yang turut bermandi keringat memastikan pengebumian jenazah dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa mengira cuaca panas atau hujan.

Tanah Perkuburan Islam Kampung Berata yang berkeluasan kira-kira 3.5 hektar itu yang mampu menempatkan 4,000 buah liang lahad telah wujud sejak tahun 1940-an. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya