KOTA BHARU: Syarat lebih ketat dikenakan kepada individu yang ingin memasuki negeri ini termasuk perlu mengemukakan keputusan ujian swab bersama surat kebenaran polis, berkuat kuasa tengah malam ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, individu terbabit juga dikehendaki memakai gelang merah jambu dan menjalani kuarantin selama 10 hari.
Kata beliau, akibat kegiatan rentas kawasan, kes Covid-19 melonjak sehingga 62 peratus dan negeri ini mungkin akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika bilangan kes terus meningkat.
“Mereka yang mahu masuk ke Kelantan perlu membuat ujian saringan di negeri masing-masing dan mengemukakan keputusan ujian ketika sekatan jalan raya di pintu-pintu masuk negeri ini termasuk lapangan terbang.
“Mereka juga akan dipakaikan gelang merah jambu dan perlu dikuarantin selama 10 hari,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini petang ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Izani berkata, semua pusat rekreasi di seluruh negeri ditutup dan sebarang majlis keraian tidak dibenarkan di negeri ini kecuali majlis akad nikah yang hanya boleh dihadiri 20 individu. – UTUSAN ONLINE