IPOH: Suami isteri antara lima penunggang motosikal yang ditahan selepas didapati positif dadah dalam Operasi Bersepadu Ambang Tahun Baharu 2021 di Persiaran Meru Raya 3 dekat Meru di sini, semalam.
Lelaki berusia 20 tahun dan isterinya yang berusia 19 tahun itu didapati positif dadah jenis methampethamine selepas ujian saringan air kencing dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Dalam operasi bersepadu selama empat jam bermula pukul 8 malam yang disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia, sebanyak 800 buah kenderaan diperiksa.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, sebanyak 310 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan kesalahan tidak memiliki lesen memandu merekodkan jumlah saman tertinggi dengan 110 saman.
Katanya, kesalahan lain membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh, cermin gelap tidak mengikut spesifikasi, nombor pendaftaran dan kesalahan teknikal kenderaan.
“Dalam operasi yang diadakan serentak di dua lokasi berhampiran, sebanyak 800 kenderaan diperiksa dengan 120 pemilik kenderaan diambil tindakan.
“Kita turut menyita 12 buah motosikal dan tiga buah kereta kerana pelbagai kesalahan dalam operasi,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, operasi bersepadu yang dijalankan itu memberi tumpuan khusus kepada penunggang motosikal yang melakukan ubah suai komponen kenderaan masing-masing.
Katanya, ia membabitkan kesalahan memasang lampu tambahan, ubah suai ekzos, cermin sisi, nombor pendaftaran dan topi keledar.
“Dalam operasi itu, saringan juga dilakukan oleh AADK ke atas beberapa individu dan mendapati lima daripada mereka termasuk seorang wanita positif dadah jenis methampethamine dan opiat.
“Selain itu, pihak Imigresen turut menahan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 18 hingga 25 tahun atas kesalahan tinggal lebih masa dan tiada dokumen yang sah,” katanya.
Operasi itu membabitkan 89 pegawai dan anggota daripada JPJ Ipoh, Imigresen dan AADK. – UTUSAN ONLINE