SEREMBAN: Sebuah stor pusat boling di pusat membeli-belah Seremban Prima di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 10.31 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba Seremban, Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.31 pagi dan tiba di lokasi enam minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan stor di tingkat lima yang berkeluasan 10×20 kaki persegi. Boleh dikatakan hampir 100 peratus stor tersebut musnah.
“Seramai 30 anggota termasuk sukarelawan bomba dari Balai Bomba Seremban, Seremban 2 dan Jalan Pantai di sini dikerahkan untuk memadam kebakaran yang mengambil masa 30 minit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Mohammad, tiada mangsa yang terlibat dan punca kejadian serta kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, seorang saksi kejadian yang juga pekerja boling di pusat berkenaan, Meralezza Darwis berkata, premis tersebut ditutup sementara susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 19 Januari lalu.
“Saya tergerak hati ke tempat kerja dan apabila sampai ke tingkat lima di ruangan lif saya terhidu bau hangit dan asap tebal di ruangan kaunter boling.
“Kemudian saya terus menghubungi pegawai bertugas di bangunan berkenaan dan memaklumkan hal berkaitan serta terus memecahkan kaca untuk tindakan awal sebelum menghubungi pihak bomba,” katanya. – UTUSAN