MELAKA: Polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 15.87 kilogram yang bernilai RM2.4 juta dipercayai mampu membekal kepada kira-kira 50,000 penagih dadah di negeri ini, pada minggu lalu.
Turut ditahan suspek lelaki dan sepupunya, masing-masing berusia 39 tahun dari Selangor yang menjadi transporter atau orang tengah yang menghantar bekalan dadah tersebut.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, dadah tersebut dirampas sepasukan peronda dalam tangkapan suspek pertama di Jalan Lereh, Tanjung Kling pada pukul 7.05, Khamis lalu.
Menurutnya, ketika kejadian, pasukan itu sedang membuat rondaan cegah jenayah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum terserempak dengan suspek yang berjalan kaki dengan membawa sebuah beg hitam dalam keadaan mencurigakan.
“Menyedari kehadiran polis, lelaki tersebut cuba melarikan diri dan mencampakkan beg yang dibawa, namun, berjaya diberkas.
“Pemeriksaan lanjut beg berkenaan bagaimanapun telah menemukan 15 bungkusan jenama minuman teh Qing Shan yang mengandungi paket lutsinar bertulis 688 dipercayai berisi mampatan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 15.87 kilogram,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambah Abdul Majid, pada tangkapan tersebut pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM3,400 yang dipercayai hasil penjualan dadah.
Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, susulan tangkapan tersebut pihaknya menahan supupu suspek yang dipercayai turut terlibat dalam pengedaran tersebut kira-kira pukul 4 pagi di Bukit Puchong, Selangor, semalam.
“Pada tangkapan tersebut, kita telah merampas wang tunai sebanyak RM21,800 dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bernilai RM70,000 yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.
“Kita percaya kedua-dua suspek merupakan transporter bagi sindiket dadah yang dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan-jalan tikus ketika tempoh PKP ini,” katanya.
Ujar beliau, siasatan lanjut sedang dilakukan namun modus operandi kes yang menggunakan bungkusan teh tersebut menyamai taktik yang dibongkar melalui rampasan dadah di negeri lain termasuk Johor.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya. -UTUSAN ONLINE