Stesen Nepal ‘tiru’ logo TV1 RTM? - Utusan Malaysia

Stesen Nepal ‘tiru’ logo TV1 RTM?

TANGKAP layar menunjukkan ‘ident’ slot berita utama stesen TV1 Nepal hampir sama dengan TV1 RTM. / GAMBAR YouTube TV1 HD News
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas pernah tular mengenai isu montaj pengenalan Berita Perdana RTM didakwa cuba diciplak sebuah stesen wilayah di China, kini logo TV1 pula jadi mangsa baharu!

 Ramai netizen dilapor berkongsi ‘ident’ atau tanda pengenalan stesen dan sedutan daripada slot berita saluran penyiaran Nepal yang juga dikenali sebagai TV1 kerana imej logonya sama.

 Bayangkan, corak bentuk Times New Roman dan format warna untuk perkataan TV1 yang digunakan oleh stesen swasta berpusat di ibu negara Kathmandu itu pun adalah amat serupa.

 Semakan Utusan Malaysia mendapati, logo itu baru mula digunakan stesen berkenaan pada 11 Disember lalu bagi menggantikan logo lama yang sudah digunakan sejak 20 Mac 2018.

 Pertukaran logo berkenaan difahamkan susulan langkah naik taraf sistem audio visual stesen berbahasa Nepal itu daripada definisi standard (SD) sebelumnya kepada definisi tinggi (HD).

 Stesen yang ditubuhkan pada 2015 itu turut mempunyai pautan kepada laman sesawang portal berita tempatan, TV Today News dengan artikel menggunakan bahasa Nepal dan Inggeris.  

 Sementara RTM pula telah lama menggunakan logo TV1 sedia ada itu sebagai versi ketujuh sejak 2012 dengan tema ‘Mewarnaimu’ ekoran pelaksanaan semula operasi siaran 24 jam.

 Ia menggantikan logo lama yang digunakan sejak 2009 kerana dikritik pelbagai pihak konon cuba tiru gaya huruf miring sebelah kanan ala stesen Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

 Seorang pengguna media sosial tempatan yang cuma menggunakan nama panggilan Zoul Jaya dalam nada sinis berkata: “Ha ha ha… sebijik habis dia copy (salin) logo TV1 RTM lah.”

 Manakala seorang netizen dikenali menerusi nama Abu Dzar pula menyifatkan logo stesen pertama negara diwujudkan sejak 1963 itu sebagai: “Ini baru betul bertaraf antarabangsa.”

 Secara kebetulan pula, TV1 RTM itu baru sahaja meraikan ulang tahun ke-57 pada 28 Disember lalu dan diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra yang ketika itu dirujuk TV Malaysia.

 Nama stesen ini kemudian ditukar kepada Rangkaian Pertama ekoran pelancaran saluran kedua pada 1969 dan selepas itu RTM1 pada 1978 dan dijenamakan sebagai TV1 pada 2009.

 Beberapa negara turut ada menggunakan nama TV1 antaranya Australia, Bosnia Herzegovina, Estonia, Finland, India, Jerman, Kanada, Lithuania, Norway, Pakistan, Tanzania dan Turki.   -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya