PETALING JAYA: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu mengutamakan penguatkuasaan tanpa ‘double standard’ terutamanya memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
Menurut Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Zainal AriffiN, SOP sewajarnya untuk semua orang tanpa mempedulikan pangkat dan kedudukan.
“Setiap pelanggaran SOP dan peraturan yang telah diperbaiki akan diambil tindakan ketentuan hukum di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan tidak akan bertolak ansur, malah akan bertindak lebih keras dengan tidak lagi memberi muka kepada sesiapa bagi menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di lokasi tumpuan awam.
Setiap hari secara purata, polis melakukan 45,000 hingga 50,000 pemeriksaan di seluruh negara dan tidak mustahil akan meningkatkan lebih banyak penguatkuasaan SOP bagi memutuskan rantaian Covid-19.
Tambah Dr. Zainal Ariffin, PKP atau tidak, kebenaran rentas negeri tidak sewajarnya dilaksanakan kerana hal ini mengakibatkan peningkatan kes harian yang meningkat dengan mendadak.
“Kerajaan perlu juga memperketatkan SOP dengan tidak membenarkan sebarang majlis awam seperti majlis kahwin dan sebagainya kerana jelas tidak semua akan mengikut peraturan SOP seperti yang ditetapkan,” katanya.
Katanya, modifikasi dapat dilakukan dalam konteks menurunkan kadar penularan dengan penambahbaikan beberapa SOP antaranya operasi perniagaan dibenarkan beroperasi seperti biasa walaupun kes dijangka meningkat menjelang Mac.
“Namun, ia mestilah mengikut SOP yang lebih ketat walaupun perniagaan berjalan seperti biasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE