Solat jemaah, Jumaat, jenazah dibenarkan - Utusan Malaysia

Solat jemaah, Jumaat, jenazah dibenarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Hanya solat berjemaah, solat Jumaat dan pengurusan serta solat jenazah dibenarkan.

Demikian ditegaskan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) mengenai kebenaran tiga aktiviti keagamaan dijalankan di masjid dan surau di negeri ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 22 Januari hingga 4 Februari depan.

Pengarahnya, Mohd. Yusri Md. Daud berkata, perkara itu dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Katanya, masjid dan surau juga hanya dibuka sejam sebelum waktu solat dan sejam 30 minit sebelum waktu solat Jumaat serta akan ditutup selepas solat disempurnakan kecuali pengurusan jenazah (bukan Covid-19) dan solat jenazah.

“Bilangan jemaah bagi melaksanakan solat Jumaat berjemaah di masjid negeri, kariah dan surau dibenarkan maksimum 50 ahli kariah iaitu tidak termasuk pegawai dan jawatankuasa masjid.

“Bilangan jemaah bagi melaksanakan solat fardu berjemaah pula dibenarkan kepada pegawai dan jawatankuasa masjid atau surau sahaja, tidak melebihi lima orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, aktiviti lain termasuk program keagamaan dan majlis ilmu seperti ceramah, kuliah, kelas agama, tazkirah sebelum Jumaat dan sebagainya dalam skala kecil atau skala besar adalah tidak dibenarkan.

“Aktiviti-aktiviti sosial dan kemasyarakatan di masjid dan surau seperti kenduri, gotong-royong dan sebagainya juga tidak dibenarkan.

“Sementara aktiviti pengurusan jenazah seperti solat jenazah hanya akan membabitkan 20 orang dengan SOP ditetapkan. Aktiviti ziarah kubur juga dilarang,” katanya.

Tambahnya, arahan itu adalah berkuat kuasa bermula 22 Januari ini sehingga tempoh PKP ditamatkan secara rasmi oleh kerajaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya