SmartHalal Kod QR permudah peroleh produk halal - Utusan Malaysia

SmartHalal Kod QR permudah peroleh produk halal

ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mewujudkan inisiatif SmartHalal Kod QR pada aplikasi, SmartHalal bagi memudahkan pengguna memperoleh status halal sesuatu produk atau perkhidmatan di pasaran dengan lebih cepat dan tepat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sistem kod QR memudahkan pemain industri memperoleh pelbagai informasi berkaitan pensijilan halal terkini selain mampu meningkatkan permohonan dan pemilikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Katanya, ia hasil kerjasama strategik Jawatankuasa Bersama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jakim, Jabatan Agama Islam negeri seterusnya meletakkan aplikasi ini sebagai hak milik penuh kerajaan. 

“Cadangan pembangunan aplikasi SmartHalal telah dipersetujui dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Bersama MCMC-JAKIM-JAIN dan merupakan projek pertama aplikasi telefon pintar berkaitan halal di bawah kerajaan yang melibatkan pembangunan teknologi ke arah gaya hidup digital. 

“Aplikasi SmartHalal ini dibangunkan berdasarkan sistem MYeHALAL, iaitu sistem bagi memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dibangunkan sejak tahun 2007 lagi di mana aplikasi ini disediakan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan lokasi serta maklumat tentang pembekal yang telah diiktiraf dan diberi pensijilan halal Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Inisiatif SmartHalal Kod QR pada Aplikasi Telefon Pintar SmartHalal secara maya di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, semua maklumat yang diperoleh melalui aplikasi SmartHalal ini diintegrasikan dengan pengkalan data MYeHALAL yang disediakan Jakim secara langsung.

Katanya, selain carian Kod QR yang baharu dibangunkan terdapat pelbagai maklumat dan ciri-ciri yang boleh diguna dalam aplikasi itu.

“Antaranya, pengumuman terkini berkenaan industri halal, carian lokasi melalui google map dan waze dan carian berdasarkan kategori dan skim seperti nama syarikat, premis makanan, produk farmaseutikal, barang gunaan, kosmetik dan dandanan diri, logistik, makanan dan minuman, rumah sembelihan, pengilangan kontrak dan yang terkini peranti perubatan.

“Jakim akan terus mengemas kini dan menambah baik sistem terbabit dari semasa ke semasa agar ia sentiasa relevan dan mengikut perkembangan semasa untuk digunakan oleh semua pihak,” katanya.

Tambahnya, pengguna perlulah memuat turun aplikasi telefon pintar SmartHalal terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan sistem Kod QR ini.

“Pengguna diseru untuk merujuk pihak berautoriti terlebih dahulu sebelum menyebarkan sebarang isu berkaitan halal misalnya bagi mengelak salah faham dan menimbulkan keresahan serta menjejaskan keharmonian hidup antara kaum di negara ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya