Sindiket seludup rokok lebih RM1 juta tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket seludup rokok lebih RM1 juta tumpas

SEBANYAK 142 kotak rokok tanpa cukai bernilai lebih RM1 juta dirampas dalam serbuan di lima lokasi berasingan di sekitar Georgetown, Pulau Pinang petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis menggagalkan sindiket penyeludupan rokok tanpa cukai bernilai lebih RM1 juta di negeri ini selepas menyerbu lima lokasi berasingan di sekitar pusat bandar di sini petang semalam.

Dalam operasi mulai pukul 3 petang itu, tiga lelaki warga tempatan berusia 31 hingga 40 tahun diberkas dengan rampasan sebanyak 142 kotak rokok tanpa cukai.

Operasi tersebut dijalankan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama polis kontinjen Pulau Pinang.

Pengarahnya, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan polis dan maklumat orang awam.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan rokok diperoleh termasuk saki-baki sindiket yang beroperasi di Pulau Pinang.

“Kita percaya, rokok-rokok tersebut untuk dipasarkan kepada pelanggan di sekitar kawasan utara termasuk di negeri ini,” katanya.

Beliau memberitahu, dalam operasi itu polis turut merampas wang tunai bernilai RM983,000 bersama beberapa buah kenderaan seperti kereta, van dan lori dengan nilai RM240,000.

“Turut dirampas adalah hidupan liar yang dilindungi iaitu memerang dan burung di sebuah kediaman salah seorang suspek tersebut,” jelasnya.

Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dalam operasi itu melebihi RM2 juta dan kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya