Sindiket dadah selindung di sebalik premis besi buruk

Sindiket dadah selindung di sebalik premis besi buruk

SHAMSUL Amar Ramli (tengah) menunjukkan dadah dan pistol jenama Taktical yang dirampas pasukan JSJN dalam sidang akhbar di IPD Klang Selatan, Klang, Selangor hari ini. - FOTO/NOR AZIHAN MD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Taktik sindiket pengedaran dadah dengan menjadikan sebuah premis besi buruk terbongkar dengan penahanan dua lelaki di Jalan Persiaran Seri Junjung, Pelabuhan Klang, kelmarin. 

Dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang itu, dadah jenis heroin seberat 2.274 kilogram dianggarkan bernilai RM20,000 berjaya dirampas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah melakukan serbuan di kawasan Telok Gong.

“Dalam serbuan ini, kita memberkas dua individu berusia 24 dan 40 tahun di sebuah kereta dan merampas dadah jenis heroin seberat 455 gram.

“Hasil siasatan telah membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah premis besi buruk yang dijadikan stor dadah di Jalan Persiaran Seri Junjung, Pelabuhan Klang.

“Dalam serbuan tersebut kita merampas dadah jenis heroin 1,819 gram termasuk sepucuk pistol jenama Taktical. Kita percaya premis ini kepunyaan salah seorang suspek,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata, semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan dia juga pernah ditahan polis dua tahun lalu mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) sebelum dibebaskan pada 2019. 

“Semakan terhadap seorang lagi suspek tiada sebarang rekod jenayah. Kita percaya dadah berkenaan dijual untuk pasaran sekitar daerah ini dan mampu dibekalkan kepada kira-kira 1,137 penagih dadah dan dijual pada harga RM40 hingga RM50 bagi setiap paket. 

“Kedua-dua suspek kini direman sehingga 12 Januari ini dan disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1990,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Shamsul Amar berkata, seorang lagi individu berusia 33 tahun berjaya diberkas di Bandar Botanik pada 31 Disember tahun lalu. 

“Menerusi serbuan kira-kira pukul 9.45 malam, sejumlah dadah jenis Syabu yang dianggarkan bernilai RM25,000 dan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa turut dirampas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya