IPOH: Melihat PKR sudah hilang hala tuju dan tidak lagi bertaring, Setiausaha Cabang PKR Kampar, Sharul Baha Abd. Rahman mengumumkan keluar parti dan menarik sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa hari ini.
Menurutnya, keputusan tersebut diambil kerana mahu memberi tumpuan penuh kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkannya sebelum ini seterusnya menjadi seorang yang bebas daripada politik.
“Saya umumkan secara rasmi keputusan untuk keluar PKR setelah merasakan parti itu telah gagal memberi manfaat yang sewajarnya kepada rakyat pada waktu ini.
“Saya akan terus berbakti kepada rakyat melalui NGO yang saya tubuhkan sejak April 2016 iaitu Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak (PUBI) serta membantu rakyat meningkatkan ekonomi rakyat melalui Koperasi Usahawan Bersatu Ipoh Perak (Kopubi).
“Dengan penuh keyakinan saya akan melangkah sebagai aktivis usahawan bebas yang membantu rakyat terutamanya golongan usahawan dan peniaga tanpa campur tangan politik serta fahaman mana-mana parti,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Shahrul Baha yang mula bergiat aktif dalam kepimpinan PKR di negeri Perak sejak 2016 melihat PKR tidak dapat bergerak setelah ditumbangkan sebagai kerajaan tempoh hari.
Pada masa sama katanya, PKR juga seolah-olah telah hilang hala tuju dan tidak mempunyai taringnya lagi terutamanya dalam menangani Covid-19 serta tiada misi yang jelas di dalam usaha untuk memacu semula ekonomi negara.
“Saya melihat usaha-usaha yang cuba dibuat oleh beberapa pihak terutamanya di dalam parti pembangkang telah gagal sama sekali dan tiada apa yang boleh dilakukan pemimpin-pemimpin ini untuk mengembalikan kestabilan politik serta tidak mampu sama sekali menaikkan ekonomi negara.
“Ini membuatkan saya telah berfikir untuk membuat tindakan yang sepatutnya saya ambil dan bebas daripada perasaan serba salah,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE