Serang saksi: Najib diberi amaran keras - Utusan Malaysia

Serang saksi: Najib diberi amaran keras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini diberi amaran keras oleh Mahkamah Tinggi di sini berikutan tindakannya `menyerang’ saksi pendakwaan yang juga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika membaca penghakiman ringkasnya menyatakan Ahli Parlimen Pekan itu tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan dengan perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejumlah RM2.28 bilion seolah-olah perbicaraan itu dilaksanakan di domain awam.

“Kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Zeti tidak membolehkan tertuduh untuk membalasnya di Facebook. Apa yang dilakukan oleh tertuduh dalam hantaran di laman sosialnya secara keseluruhan merupakan satu bentuk serangan terhadap saksi.

“Sehubungan itu, Mahkamah mengeluarkan satu amaran keras terhadap tertuduh agar tidak mengulanginya semula. Mahkamah akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menjaga integriti mahkamah,” ujarnya.

Hakim Sequerah membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujah daripada pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Selasa lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram memohon mahkamah mengeluarkan amaran keras terhadap Najib selepas tertuduh berkenaan telah memuat naik hantaran di akaun Facebook miliknya pada 29 Disember lalu.

Hantaran tersebut antara lain mengaitkan Zeti dan ahli keluarganya menerima wang sejumlah RM100 juta daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Terdahulu, Ahmad Akram menghujahkan kenyataan yang dibuat oleh Zeti dalam satu temu ramah yang diterbitkan di portal euromoney.com hanya memfokuskan mengenai ekonomi.

“Tiada mana-mana bahagian dalam artikel terbabit yang menjurus kepada serangan peribadi terhadap Najib. Artikel kedua yang diterbitkan di theedgemarkets.com pula merupakan maklum balas terhadap kenyataan yang dibuat oleh tertuduh dalam satu temu ramah mengenai dirinya.

“Ini jelas merupakan satu tindakan menghina mahkamah. Kami memohon agar mahkamah memberikan amaran kepada tertuduh agar perkara ini tidak berulang kembali. Tindakan tertuduh seolah-oleh memperlekehkan pentadbiran perundangan,” kata Ahmad Akram.

Sementara itu, Muhammad Shafee menghujahkan, hantaran yang dibuat oleh Najib adalah sebagai membalas kepada kenyataan yang dibuat oleh Zeti dalam artikel-artikel tersebut.

“Salah satu temu bual telah disiarkan di theedgemarkets.com pada 3 Julai 2018 dan Zeti terus menyerang anak guam saya sehari sebelum Najib didakwa di mahkamah bagi pertuduhan membabitkan SRC International Sdn. Bhd.

“Beliau yang menjalankan perbicaraan kes di khalayak dan bukannya di mahkamah. Peguam negara (ketika itu) tidak berbuat apa-apa mengenai tindakan Zeti. Hujah pendakwaan yang menunjukkan seolah-olah Najib yang membuat tumbukan yang pertama adalah salah,”hujah peguam itu.

Tambahnya, hantaran yang dibuat oleh Najib hanyalah meminta Zeti memberikan penjelasan sebenar mengenai pertuduhan berkaitan 1MDB.

Najib, 68, kini sedang dibicarakan atas didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Beliau juga menghadapi 16 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM2,196,786,711.87 dan lima pertuduhan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram tersebut.

Perbicaraan kes itu bersambung 8 Februari ini dengan soal balas terhadap saksi pendakwaan ke-10, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd. Hazem Abdul Rahman. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya