PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki membuat ugutan bunuh terhadap seorang wanita untuk mendapatkan wang bernilai RM10,000, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal, mangsa berusia 32 tahun yang bekerja sebagai eksekutif syarikat swasta melaporkan menerima mesej pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan daripada nombor tidak dikenali yang memintanya memasukkan wang RM10,000 ke dalam satu akaun tempatan, Rabu lalu.
Jelasnya, pengirim SMS itu turut mengugut sekiranya mangsa enggan mengikuti arahan tersebut, mangsa akan dibunuh.
“Berdasarkan risikan yang dijalankan, kita dapati suspek berada di Langkawi, Kedah. Suspek berusia 29 tahun itu kemudian ditahan pada pukul 2 petang di Pantai Chenang dan kita juga mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.
“Ketika tangkapan dibuat, kita turut merampas empat buah telefon bimbit pelbagai jenama dan sekeping kad bank tempatan milik suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun Nik Ezanee memaklumkan, hasil siasatan awal yang dijalankan, suspek tidak mengaku melakukan jenayah pemerasan itu dan mendakwa telefon bimbitnya telah digodam oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Suspek kini ditahan reman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” jelasnya.
Tambah beliau, sejak Januari tahun lalu, pihaknya telah menerima sebanyak 35 laporan melibatkan kejadian pemerasan di kawasan Damansara, Kota Damansara dan Sungai Way namun tiada kerugian dicatatkan. – UTUSAN ONLINE