KLANG: Sengaja mahu meronda melihat persiapan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Itu antara alasan segelintir orang ramai yang tidak mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) dalam sekatan jalan raya di Jalan Persiaran Kota di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pemantauan pihaknya selama satu jam mendapati masih ada individu yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.
“Perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku dan orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi SOP bagi mengelak dikenakan tindakan,” katanya ketika ditemui pemberita di sekatan jalan raya itu.
Shamsul Amar berkata, empat sekatan jalan raya turut dilaksanakan melibatkan Kilometer 24.2 Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Batu 2 Jalan Langat, Jalan Sungai Udang Kampung Delek dan Jalan Dato’ Mohd. Sidin. – UTUSAN ONLINE