PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memahami semua jenis perniagaan menghadapi pelbagai cabaran termasuk kesukaran dalam menguruskan aliran tunai, perbelanjaan utiliti dan sewa premis sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan akan berusaha mengurangkan beban yang ditanggung oleh sektor perniagaan menerusi beberapa langkah di bawah matlamat menyokong kelangsungan perniagaan dalam pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi Rakyat Malaysia (Permai).
Menurut Perdana Menteri, Program Subsidi Upah 3.0 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan ditambah baik yang mana semua majikan yang beroperasi dalam PKP layak untuk memohon tanpa mengambil kira sektor.
Kata beliau, untuk tempoh satu bulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 setiap pekerja mereka yang bergaji kurang dari RM4,000.
“Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja. Inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion yang dianggar akan memanfaatkan 250,000 majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja,” katanya dalam perutusan Pakej Bantuan Khas, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh pelaksanaan PKP, kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat permohonan bagi program Sistem Insurans Pekerjaan (SIP PRIHATIN).
Katanya, pekerja yang tidak memenuhi caruman minimum atau tidak dilanjutkan kontrak perkhidmatan setelah pembaharuan dibuat sekurang-kurangnya tiga kali, pada masa ini mereka dibenarkan untuk memohon bantuan kewangan SIP PRIHATIN sebanyak 30 peratus daripada gaji mereka selama tiga bulan.
Perdana Menteri berkata, sejumlah RM24 juta turut diperuntukkan bagi membiayai caruman penuh bagi golongan delivery riders di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Perkeso sebagai menghargai sumbangan mereka menjadi barisan sokongan dalam penghantaran barangan dan makanan semasa tempoh PKP.
Dalam hal itu, beliau memberitahu, hampir 32,000 permohonan daripada golongan itu diterima untuk perlindungan skim berkenaan.
“Kerajaan akan memperluaskan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan kepada 500,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di tujuh negeri PKP dengan bayaran RM1,000, manakala 300,000 PKS di negeri yang lain akan menerima RM500 .
“Perluasan inisiatif GKP Tambahan ini atau GKP Permai, melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM650 juta. Namun demikian, sekiranya terdapat negeri yang berubah menjadi zon merah dan diisytiharkan PKP, kerajaan sedia membantu dengan menyalurkan bantuan tambahan kepada PKS di negeri tersebut serta merta,” katanya. -UTUSAN ONLINE