Semua aset, anggota agensi KDN digerak bantu mangsa banjir - Utusan Malaysia

Semua aset, anggota agensi KDN digerak bantu mangsa banjir

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesemua aset dan anggota jabatan serta agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri diatur gerak secara bersepadu demi membantu mangsa banjir melanda beberapa negeri ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, seramai 8,653 pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari enam kontinjen  (Selangor, Perak, Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu) dilibatkan bagi bantuan operasi banjir.

Ini termasuk, katanya, sebanyak 1,329 aset kenderaan PDRM diatur  gerak termasuk 164 bot, tiga bas, 42 van dan 13 ambulan.  

“Selain itu, seramai 1,662 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dikerahkan untuk membantu mangsa banjir di enam negeri itu dan ditugaskan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). 

“Sebanyak 59 aset kenderaan Rela juga diatur gerak melibatkan 23 SUV, tujuh kenderaan darat pacuan 4 roda, dua lori, lapan MPV, 10 sedan dan sembilan van,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, aset-aset strategik seperti pesawat udara AW 139 dan bot-bot peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersedia beroperasi membantu dan menyelamatkan mangsa banjir.

Tindakan itu katanya, dikoordinasikan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), terutamanya bagi kegunaan di negeri-negeri  yang terjejas teruk seperti Johor dan Pahang. 

Beliau turut memberitahu, aset-aset awam seperti bas, lori dan trak berkapasiti besar milik  Jabatan Imigresen juga akan dilibatkan dalam operasi-operasi banjir di seluruh negara.

“Bagi membantu memudahkan urusan mangsa banjir yang kehilangan dokumen-dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan dan sijil kelahiran, Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) digerakkan ke kawasan-kawasan pedalaman.

“Melalui Unit Bergerak JPN, mangsa-mangsa banjir tidak perlu lagi hadir ke cawangan JPN negeri masing-masing untuk memohon dokumen tersebut,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat mangsa-mangsa banjir.

Katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03- 22663333 atau 03-22663444. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya