Sebanyak sembilan kilang, 16 premis bukan kilang ditutup

Sembilan kilang, 16 premis bukan kilang ditutup

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak sembilan kilang ditutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain didapati ada kes positif jangkitan Covid-19 di premis berkenaan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain kilang, turut diarahkan tutup ialah 16 premis lain bukan kilang sebagaimana dimaklumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Kerajaan memandang serius dengan memastikan tidak ada kes jangkitan wabak itu di kilang dengan mengambil tindakan menutup sementara operasi kilang sehingga kes selesai selain memastikan kesemua pekerja mereka bebas Covid-19.

“Kilang antara menyumbang kepada kluster kerana ada kes positif, maka sebab itu kita mengarahkan semua pekerja asing di kilang wajib melaksanakan ujian saringan Covid-19, jika gagal majikan akan diambil tindakan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 494 individu ditahan atas kesalahan ingkarSOP semalam dengan 464 daripadanya dikompaun manakala 29 direman dan satu lagi dijamin. 

Katanya, antara kesalahan itu ialah tidak memakai pelitup muka (112), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri pelanggan (67), rentas daerah atau negeri tanpa  kebenaran (62), tiada penjarakan fizikal (56) dan lain-lain (197). 

Beliau turut memberitahu, Operasi Benteng semalam berjaya menahan 21 pendatang asing tanpa izin dan merampas dua kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara. 

“Dalam operasi itu juga, sebanyak 110 bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan selain sebanyak 540 sekatan jalan raya dilakukan.

“Semalam, anggota Penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat 61 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara dan mendapati 59 tapak binaan beroperasi manakala dua lagi tidak beroperasi.

“Daripada jumlah itu, 57 tapak binaan mematuhi SOP  manakala dua lagi tidak patuh dan  secara keseluruhannya, CIDB melakukan 14,798 pemeriksaan melibatkan 8,388 tapak binaan sejak 20 April  tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membuat 718 pemantauan harian bagi kategori peruncit (534), pemborong (159) dan pengilang  (25). 

Katanya, pegawai penguat kuasa kementerian itu melakukan 1,745 pemeriksaan khas pematuhan SOP dan daripada jumlah itu, 1,715 premis mematuhi SOP, 28 diberi nasihat, manakala masing-masing satu dikenakan amaran dan dikompaun.

Berhubung kuarantin wajib, seramai 720 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara semalam dan kesemuanya dikuarantin wajib. 

Sejak 24 Julai tahun lalu, seramai 111,895 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk  sempadan antarabangsa. 

“Daripada jumlah itu, seramai 7,948 individu sedang  menjalani kuarantin wajib di 76 hotel dan 13 premis lain dan daripada jumlah itu seramai 103,406 individu dibenarkan pulang manakala 540 lagi dibawa ke hospital,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN