Selesai masalah pemandu lori rentas sempadan - Utusan Malaysia

Selesai masalah pemandu lori rentas sempadan

NOVAN HING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Persatuan Pengusaha Lori Johor berharap kerajaan Malaysia-Singapura dapat mengambil tindakan pantas bagi menyelesaikan masalah dihadapi semua pemandu lori untuk rentas sempadan di kedua-dua negara.

Pengerusinya, Novan Hing berkata, antara masalah dihadapi mereka termasuklah terpaksa berdepan kesesakan jalan raya teruk sehingga 10 jam.

Menurutnya, kesesakan dalam tempoh lama itu mengakibatkan pelbagai masalah bukan sahaja kepada pemandu, tetapi juga kepada barangan dibawa.

“Masalah dihadapi pemandu adalah terpaksa menunggu dalam tempoh lama tanpa kemudahan asas seperti makanan dan minuman selain tandas.

“Sementara itu, antara masalah melibatkan barangan adalah kerosakan terhadap produk mentah seperti sayur-sayuran dan ayam,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya menggunakan aplikasi Zoom, di sini hari ini.

Novan memberitahu, baru-baru ini, ribuan pemandu lori berdepan kesesakan teruk dalam proses penghantaran barangan kargo rentas sempadan di Tambak Johor dan Lebuhraya Linkedua.

Antara punca yang dipercayai menyebabkan kesesakan tersebut termasuklah pemeriksaan ketat oleh pihak berkuasa tempatan, pelaksanaan Ujian Rapid Antigen (ART) oleh pihak berkuasa Singapura, kerosakan terhadap peralatan dan reka bentuk bangunan yang kurang sesuai.

Tambah beliau, sekiranya masalah tersebut tidak dapat diselesaikan dalam kadar segera masalah akan bertambah teruk khususnya menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Sehubungan itu, pihaknya mencadangkan beberapa inisiatif jangka pendek diambil bagi membantu menyelesaikan masalah itu seperti pembukaan operasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia selama 24 jam berbanding hanya 12 jam ketika ini.

“Selain itu, cadangan lain termasuklah meningkatkan tahap kecekapan proses rentas sempadan dan membaiki peralatan yang telah rosak sejak sekian lama,” ujarnya.

Sementara itu, dalam masa sama pihaknya turut memahami tanggungjawab pihak berkuasa khususnya Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam memperketat pemeriksaan dibuat mereka.

Katanya, segelintir pihak tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan dengan kelonggaran diberi dalam memastikan pergerakan rentas sempadan berjalan lancar dan tidak berlaku kesesakan teruk.

“Disebabkan itu pihak berkuasa terpaksa mengetatkan prosedur dan pemeriksaan, namun hal itu menimbulkan masalah kepada pengusaha lori yang melakukan kerja mengikut undang-undang,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya