Selaraskan tempoh PKP seluruh negara - Utusan Malaysia

Selaraskan tempoh PKP seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak perlu diselaraskan ke satu tarikh yang sama untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, penyeragaman itu membolehkan rakyat membuat persediaan bagi menghadapi PKP sehingga selepas pelaksanaan tempoh tersebut.

Beliau berkata, pengumuman saat akhir juga perlu dielakkan kerana data mengenai jumlah kes terkini Covid-19 boleh diperoleh daripada Kementerian Kesihatan.

“Tempoh PKP 2.0 yang diumumkan itu amat mengelirukan dan jelas menunjukkan tahap koordinasi dan perancangan yang lemah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mengapa tidak dilaksanakan PKP 2.0 di seluruh negara di peringkat awal mulai 13 Januari 2021? Kenapa tunggu kes-kes dari kawasan PKP 2.0 merebak ke kawasan lain sebelum ‘lockdown’,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata, berdasarkan tempoh pelaksanaan PKP 2.0 sedia ada, adalah dijangkakan yang tempoh tersebut akan dipanjangkan ke satu tarikh lain.

Katanya, bagi PKP 2.0 fasa pertama melibatkan Selangor, Johor, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Wilayah Persekutuan termasuk Kelantan dijangka tidak akan ditamatkan pada 26 Januari sebaliknya dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 9 Februari.

“PKP 2.0 fasa kedua melibatkan beberapa negeri lain termasuk Perak juga tidak akan tamat pada 4 Februari ini dan akan dilanjutkan serentak dengan Selangor dan negeri lain.

“Ini kerana jumlah kes harian tidak akan menurun menjelang 26 Januari ini dan juga tidak akan kurang dari 1,000 sehari menjelang 9 Februari,” katanya.

Tambah beliau, MKN diharap menyelaraskan pelaksanakan PKP 2.0 dan mengumumkan segera tarikh dilanjutkan sehingga 9 Februari ini untuk semua negeri kecuali Sarawak.

“Adalah lebih baik mengumumkan lanjutan PKP 2.0 di seluruh negara (kecuali Sarawak) sehingga 9 Februari ini ketika pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya