SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memperkenalkan satu program khas pengurusan bakat dan tenaga kerja bagi menangani isu penawaran pekerjaan ketika pasca pandemik Covid-19.
Program Selangor Kerjaya itu dijangka menyediakan sebanyak 10,000 peluang pekerjaan bersesuaian dengan kemahiran tenaga kerja dalam tempoh tiga tahun.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program itu akan memanfaatkan semua pihak terutama belia mencari pekerjaan dan majikan yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran.
“Selain itu, kerajaan negeri berpeluang mempelbagaikan peluang pekerjaan sekali gus menangani masalah penggangguran dalam jangka masa pendek atau panjang.
“Program Selangor Kerjaya ini akan melahirkan ramai tenaga kerja berkemahiran abad ke-21 dan merangsang ekonomi Selangor melalui aliran pendapatan baharu serta pemangkin dalam industri bernilai tinggi,” katanya ketika berucap melancarkan program itu secara maya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, perkhidmatan Selangor Kerjaya adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri dengan peruntukan berjumlah RM58 juta.
“Pendaftaran dibuka kepada tenaga kerja dan majikan yang berminat mendapat tenaga kerja yang menepati permintaan penawaran pekerjaan. Tenaga kerja yang berjaya akan menjalani program latihan dalam talian yang ditetapkan bersama dengan majikan selama setahun bagi mengasah bakat dan kemahiran.
“Selain itu, individu yang berjaya akan menjalani proses ‘mentoring’ bagi memastikan mereka menyesuaikan diri dengan baik dalam pekerjaan tersebut.
“Ini merupakan situasi menang-menang untuk semua pihak iaitu tenaga kerja, majikan dan kerajaan negeri dalam menangani isu pengangguran dan penawaran pekerjaan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, sebuah laman sesawang Selangor Kerjaya sudah dibangunkan bagi melancarkan proses pelaksanaan inisiatif tersebut.
“Selangor Kerjaya berinteraksi dengan masyarakat awam secara terus di media sosial seperti Facebook (FB), Instagram, Linkedin, Twitter dan aplikasi WhatsApp.
“Mereka yang berminat boleh melayari laman www.selangorkerjaya.com.my itu untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya. – UTUSAN