MELAKA: Jika diberi peluang Pas Melaka mahu bertanding satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.
Namun, Pesuruhjayanya, Datuk Kamaruddin Sedik berkata, hasrat itu bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan untuk memberi kata putus berdasarkan perbincangan dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN).
Setakat ini, ujar beliau, Pas negeri telah mengadakan perbincangan dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka dan Bersatu tetapi belum mengadakan pertemuan antara ketiga-tiga parti dalam PN itu.
“Walaupun Pas tidak ada kerusi di negeri ini sama ada di Parlimen atau DUN tetapi Pas tetap mempunyai peranan besar. Dalam Muafakat Nasional (MN) UMNO mahukan Pas dan Bersatu dalam PN juga mahukan Pas.
“Itulah hasrat Pas di Melaka tetapi ini bukan menjadi perkara penting. Apa yang paling utama, Pas kalau boleh hendak elakkan pertembungan sesama tiga parti dalam PRU-15 kerana kekalahan PRU-14 jadi pengajaran terbaik,” ujarnya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, Pas negeri akan akur dengan sebarang keputusan daripada pucuk pimpinan tertinggi parti itu berhubung pembahagian kerusi menjelang PRU-15 nanti.
Ujarnya, jika tidak ada sebarang kerusi sama ada di Parlimen atau DUN pada PRU-15 yang diputuskan, Pas Melaka akan memberi tumpuan membantu rakan dalam MN dan PN bagi memastikan gabungan parti Melayu mempunyai dua pertiga kerusi di Parlimen.
Ditanya mengenai pendirian Pas apabila beberapa UMNO Bahagian di negeri ini menolak kerjasama dengan Bersatu pada Mesyuarat Perwakilan parti tersebut hujung minggu lalu, beliau berkata, pihaknya tidak mahu campur tangan mengenai keputusan yang telah diambil.
“Kita ikut keputusan Pas Pusat. Kita lebih ke arah untuk menyatupadukan orang Melayu dalam UMNO dan Bersatu. Kita tidak mahu berlaku pertandingan tiga penjuru seperti mana pada PRU-14. Kita tidak mahu kesilapan berlaku lagi dalam PRU-15 nanti,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE