PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berharap Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi Rakyat Malaysia (Permai) dapat meringankan beban pemain sektor pelancongan tempatan.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif baharu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini ternyata memberi faedah kepada para penggiat industri itu.
“Usaha ini membolehkan mereka meneruskan kelangsungan penjanaan ekonomi perniagaan dan dapat mengekalkan tenaga kerja masing-masing,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Antaranya seramai 14,000 pemandu pelancong selain 118,000 lagi pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing melalui bantuan kewangan one-off RM500.
Pihak kementerian tersebut ujar beliau, juga akan bekerjasama dengan pelbagai kementerian berkaitan untuk dapat menyegerakan proses pembayaran bantuan ditetapkan inisiatif Permai.
Manfaat khas itu juga dinikmati pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.
Mereka tambah Nancy, turut diberi diskaun untuk bil elektrik bulanan di premis masing-masing sebanyak 10 peratus bagi tempoh selama tiga bulan dari Januari sehingga Mac depan..
“Alhamdulillah, kerajaan juga menyatakan komitmen untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” jelasnya.
Ia ujarnya, dibuat melalui Geran Khas Prihatin Tambahan yang diperluaskan kepada tujuh negeri dikenakan PKP dan bakal manfaat 500,000 PKS dengan bayaran sebanyak RM1,000.
Sementara 300,000 PKS di negeri lain yang dilaksanakan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan pula kata beliau, juga akan menerima geran khas tersebut tetapi sebanyak RM500 sahaja.
Kementerian itu tegas Nancy, menghargai komitmen ini yang menunjukkan kesungguhan Perdana Menteri untuk membantu penggiat industri pelancongan, seni dan budaya domestik.
“Inisiatif Permai dengan bantuan tambahan kepada PKS disalur serta-merta jelas memastikan mereka yang terkesan itu dapat terus usaha dalam keadaan pandemik sekarang,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas langkah diperkenalkan itu dan menyeru semua pihak berganding bahu melindungi Malaysia serta mengekang penularan wabak Covid-19. -UTUSAN ONLINE