PUTRAJAYA: Selepas tujuh bulan ditarik balik awal Jun tahun lalu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan semula penguatkuasaan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara.
Langkah itu susulan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bermula pada tengah malam ini sehingga 1 Ogos depan.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kementeriannya hari ini.
“Operasi SJR akan kembali berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam dengan semua laluan keluar masuk negeri ditutup serta dikawal ketat oleh pihak polis dan dibantu tentera,” katanya.
Kali terakhir SJR dilaksanakan ialah pada 9 Jun tahun lepas apabila kerajaan mula melakukan PKP Pemulihan (PKPP) bagi menggantikan PKP Bersyarat (PKPB) sejak 13 Mei sebelumnya.
Tindakan itu yang melibatkan 133 SJR di sempadan negeri seluruh negara telah menyaksikan ramai diarah berpatah balik dan ada terkandas di kampung sejak PKP diperkenalkan 18 Mac.
Ia turut mengakibatkan jutaan umat Islam buat julung kalinya tidak dapat melalui tradisi balik kampung dengan merentas negeri bagi sambut perayaan Hari Raya Aidilfitri pada 24 Mei lalu.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri namun berkata, pengecualian hanya diberi kepada mereka yang sudah menempah awal tiket penerbangan atau bas ekspres untuk tarikh selepas pada hari ini.
“Saya sudah berbincang dengan pihak polis, untuk turut diberi kelonggaran khas perjalanan bagi tujuan ziarah ahli keluarga yang sakit tenat di kampung dalam tempoh darurat,” katanya.
Menyentuh isu pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan untuk pulang, beliau meminta mereka agar bersabar kerana PKP dan PKPB kali ini hanya berlangsung selama dua minggu.
Justeru ujar beliau, keadaan kemungkinan boleh berubah sepanjang pelaksanaan perintah itu bergantung kepada situasi perkembangan penularan wabak Covid-19 di negeri yang terbabit.
Begitu juga mereka yang perlu merentas untuk urusan pekerjaan, Ismail Sabri beri jaminan mereka hanya perlu tunjuk pas atau surat rasmi majikan termasuk kalangan petugas media.
“Setakat ini, sekatan perjalanan hanya boleh dibenarkan dengan budi bicara pihak polis dan bergantung kepada alasan yang diberikan oleh pemohon mengikut kes,” jelas beliau lagi. -UTUSAN ONLINE