MELAKA: Lelaki yang menjadi tular selepas perkongsiannya menggaji seorang individu yang dikatakan gelandangan untuk bekerja dengannya di sebuah stesen minyak pernah melalui episod sama sehingga membuatkan dia terpanggil untuk membantu.
Lee Chee Seng, 50, yang bertugas sebagai Pengurus Sumber Manusia Syarikat Hong Brothers berkata, dia memahami keperitan yang dialami Lester Mohd. Sufian, 40, kerana pernah menahan lapar berhari-hari dan tidur di stesen bas.
Kisah mereka mendapat perhatian ramai selepas Chee Seng memaklumkan dia telah membantu Lester yang hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 di Selangor dan datang ke Melaka menggunakan wang simpanan terakhir demi mencari kerja.
“Kisah Lester sangat dekat dengan diri saya kerana sejak saya berumur 14 tahun lagi, saya telah disuruh berhenti belajar oleh ayah kerana mahu saya mencari kerja bagi membantu keluarga.
“Saya mempunyai lapan orang adik-beradik dan hidup keluarga kami susah, sepanjang saya membesar, pelbagai kerja saya telah lakukan, kerana itu saya tersentuh dengan nasib yang menimpa Lester,” katanya yang berasal dari Bukit Palah, di sini.
Hantarannya menerusi akaun Caltex Bachang itu menerima maklum balas positif dan pujian daripada netizen dengan lebih 3,600 kali diulang ciap oleh pengguna Twitter selain dikongsi pengguna Facebook.
Jelas Chee Seng, Lester datang ke stesen minyak tersebut untuk meminta kerja dalam keadaan tidak terurus, malah memakai kasut yang tidak sesuai dengan saiz kakinya, pada Jumaat lalu.
“Saya maklumkan dia boleh datang bekerja pada hari Isnin depan dan ketika ingin beredar saya sempat bertanya dia tinggal di mana, namun, diberitahu dia hanya tidur di stesen bas.
“Saya terkejut dan terus menyuruhnya bekerja pada hari sama, sementara meminta beberapa kakitangan lain menyediakan makanan, mencarikan bilik sewa dan membeli pakaian serta kasut baru yang sesuai dengannya,” katanya.
Tambahnya, perkongsiannya di laman sosial itu bukan untuk mencari perhatian tetapi mengajak orang lain untuk bersama-sama membantu golongan yang memerlukan terutama pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Sementara itu, Lester yang merupakan anak kelahiran Beaufort, Sabah turut meluahkan rasa bersyukur dan terharu selepas diberikan pekerjaan, apatah lagi pertolongan itu daripada insan berlainan agama dan bangsa.
“Saya telah berhijrah ke Semenanjung sejak berusia 20-an lagi, namun, hidup saya semakin melarat sejak hilang kerja pada hujung tahun lalu sehingga terpaksa merempat di stesen bas dan bawah jambatan.
“Sebenarnya, saya merancang untuk mencari pekerjaan di Pulau Pinang, namun, duit yang ada dalam simpanan saya cuma cukup untuk beli tiket bas ke Melaka, jadi, saya teruskan dan tawakal sahaja. Syukur, selepas dua minggu tiba di Melaka dan berlegar-legar berjalan kaki sehingga ke kawasan bandar ini, saya diberikan peluang untuk bekerja,” katanya.
Katanya, dia akan menggunakan peluang diberikan sebaik mungkin terutama bagi memperbaiki keadaan kehidupan untuk menjadi lebih stabil. -UTUSAN ONLINE