Saringan Covid-19 bagi pekerja asing diperluas seluruh negara - Utusan Malaysia

Saringan Covid-19 bagi pekerja asing diperluas seluruh negara

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia bakal memperluaskan lagi Program Saringan Covid-19 yang wajib untuk pekerja warga asing ke seluruh negara bermula 2 Februari depan.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ia susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 13 Januari lalu berikutan peningkatan mendadak wabak itu.

“Program mandatori ini dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan dapat kerjasama klinik swasta di seluruh negara,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Senarai klinik yang diperakui Perkeso bagi menawarkan ujian saringan di bawah program itu boleh dirujuk terus melalui portal rasmi agensi berkenaan iaitu https://psp.perkeso.gov.my.

Proses saringan itu ujar beliau, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso.

Majikan pula jelas Saravanan, cuma perlu menanggung kos perkhidmatan yang dikenakan oleh pihak pengurusan klinik atau hospital terbabit untuk setiap pekerja asing dimiliki mereka.

Beliau menambah, susulan perluasan skop program khas ini berbanding sebelum itu hanya beberapa negeri, Perkeso telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM54 juta.

“Bagaimanapun bagi pekerja asing yang langsung bukan pencarum Perkeso, kos saringan dikenakan itu juga perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan sendiri,” jelas beliau lagi.

Keperluan saringan ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Saravanan menambah, maklumat lanjut berhubung program ini termasuk senarai klinik akan dikemas kini oleh pihak Perkeso melalui portal yang dinyatakan itu dari semasa ke semasa.

Sebarang pertanyaan mengenai program ini boleh diajukan melalui e-mel kepada [email protected] atau juga talian hotline agensi tersebut iaitu 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya