PETALING JAYA: Tindakan dua lelaki yang menyamun seorang pemandu wanita berhampiran sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Gombak menghala Bentong dekat sini mengundang padah apabila mereka ditangkap oleh orang awam semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian pada pukul 10.10 pagi itu, mangsa berusia 32 tahun yang memandu kereta sedang menunggu untuk melepasi pemeriksaan polis kira-kira 100 meter dari plaza tol terbabit sebelum dihampiri dua suspek bermotosikal.
Jelasnya, seorang daripada suspek bertindak memecahkan cermin kereta di bahagian penumpang hadapan sebelum mengambil beg tangan mangsa yang mengandungi dokumen serta wang tunai RM90 sebelum melarikan diri.
“Pemandu lori di sebelah kereta berkenaan menyedari kejadian itu dan bertindak membunyikan hon sebelum diikuti pemandu kenderaan lain.
“Suspek cuba memecut motosikal namun terjatuh apabila motosikalnya terlanggar pintu sebuah lori yang dibuka pemandunya bagi menghalang suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Arifai, pemandu lori berkenaan bersama beberapa orang awam kemudiannya menangkap kedua-dua suspek sebelum diserahkan kepada polis bertugas di SJR Plaza Tol Gombak.
“Siasatan awal mendapati suspek berusia 24 dan 28 tahun itu menggunakan motosikal dengan nombor pendaftaran palsu yang dilaporkan hilang di Taman Melawati, Ampang.
“Pemeriksaan ke atas beg bimbit suspek menemukan dua kad pengenalan orang lain yang pernah membuat laporan kes samun di Sentul dan Brickfields semalam,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan laporan dibuat mangsa, suspek menggunakan modus operandi sama iaitu memecahkan cermin kereta ketika berada di persimpangan lampu isyarat.
“Dengan penahanan dua suspek terbabit, kita percaya telah menyelesaikan empat kes samun di daerah ini dan Kuala Lumpur,” jelasnya.
Tambah beliau, kedua-dua suspek direman lima hari bermula hari ini hingga 27 Januari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan keprihatinan orang ramai yang membantu menangkap suspek dan menyerahkan suspek kepada kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE