PUTRAJAYA: Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dan Kementerian Kesihatan bekerjasama bagi menubuhkan Rumah Ronald McDonald terbaharu di Hospital Tunku Azizah di Kuala Lumpur.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, penubuhan Rumah Ronald McDonald itu adalah yang ketiga selain di Hospital Canselor Tuanku Muhkriz Universiti Kebangsaan Malaysia dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Beliau berkata, kerajaan mengalu-alukan inisiatif RMHC Malaysia kerana kemudahan rumah penginapan sementara ini boleh meringankan beban kewangan kumpulan B40 khususnya ketika menjalani rawatan di hospital.
“Kami berharap usaha seperti ini dapat mendorong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat lain untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam meningkatkan kemudahan penjagaan kesihatan di hospital.
“Dengan kerjasama seperti ini, rakyat akan mendapat lebih banyak manfaat di samping menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.
“Sesungguhnya, tanggungjawab sosial adalah tanggungjawab semua, bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian penubuhan rumah itu di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi RHMC Malaysia yang juga Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, pihaknya akan menyumbangkan dana yang diperlukan bagi menubuhkan rumah penginapan itu.
Menurutnya, pihaknya akan mengubah suai Medi Hotel di Hospital Tunku Azizah menjadi Rumah Ronald McDonald, iaitu kemudahan rumah penginapan sementara untuk keluarga pesakit pediatrik yang dirawat di hospital itu.
“Rumah Ronald McDonald yang akan dibina di tingkat 10 kompleks parkir hospital itu akan dilengkapi 20 bilik keluarga serta ruang makan, ruang rehat, dapur, bilik dobi, surau, ruang permainan dan kemudahan lain.
“RMHC Malaysia juga akan membantu memulihara dan menyelenggara kemudahan penginapan tersebut,” katanya.
Katanya, menerusi dua buah Rumah Ronald McDonald sebelum ini, pihaknya mendapati ia sangat memberi manfaat kepada keluarga yang memerlukan.
Azmir berkata, pihaknya merancang untuk menubuhkan sebuah lagi Rumah Ronald McDonald di Hospital Likas, Sabah bagi memberi kemudahan kepada penduduk di negeri berkenaan.
Menurutnya, kini terdapat lebih daripada 370 Rumah Ronald McDonald di seluruh dunia, yang menyediakan rumah penginapan sementara bagi keluarga yang mempunyai anak yang sedang dirawat di hospital dan fasiliti perubatan yang berdekatan.
Selain rumah penginapan itu, RMHC Malaysia menjalankan empat program utama untuk membantu kanak-kanak di Malaysia, iaitu Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, Gift of Smile, dan pek Kembali-Ke-Sekolah untuk kanak-kanak sekolah rendah dari keluarga yang memerlukan.
Kesemua program ini merangkumi tiga teras utama RMHC Malaysia iaitu kesihatan, pendidikan dan kebajikan. -UTUSAN ONLINE